Sunday, April 15, 2007

Sekolah Bestari

SEKOLAH BESTARI (Smart Schools)
Abstrak
Artikel ini membincangkan konsep sekolah bestari yang mula diperkenalkan di negara ini pada tahun 1999. Sekolah ini memberi fokus kepada perkembangan individu secara menyeluruh dengan memberi fokus kepada perkembangan afektif di samping dominan kognitif.Teknologi terkini digunakan bagi memperkembangkan peranan pengajaran yang melampaui bilik darjah tradisional. Kualiti pengajaran ditingkatkan melalui pembelajaran akses kendiri, terarah pelajar dan mengikut kadar pembelajaran individu. Namun, seperti sekolah biasa yang telah sekian lama wujud di negara ini, interaksi antara guru dan pelajar kekal sebagai satu elemen penting dalam konsep sekolah bestari.

Pendahuluan
Isu yang diperkatakan sekarang dalam dunia pendidikan ialah 'SEKOLAH BESTARI' (Smart Schools). Sebuah sekolah bestari ialah sekolah yang berasaskan budaya BERFIKIR dan KEMAHIRAN MENGGUNAKAN TEKNOLOGI. Sekolah pintar merujuk kepada sekolah yang memberikan peluang teknologi maklumat interaktif untuk memainkan peranan penting dalam pengajaran dan pembelajaran serta proses pengurusan. Sekolah bestari di Malaysia seharusnya mendidik bukan sahaja untuk zaman maklumat bahkan menggunakan alat yang terdapat pada zaman maklumat. Sekolah bestari Malaysia akan memfokuskan usaha dalam melahirkan kanak-kanak pintar iaitu mereka yang kreatif dan berupaya menjana maklumat baru. Mereka boleh dianggap sebagai "pemikir" dan bukan individu yang boleh mengeluarkan semula pengetahuan. Elemen-elemen yang penting dalam sebuah sekolah bestari ialah ‘”mart learning”, “ smart teaching”, “smart assesment” dan juga” smart use of technolog”.
Konsep
Sekolah bestari berasaskan kepada konsep teknologi berhubung dengan mesin pintar (smart machine) melalui pendekatan pengurusan bersepadu secara berpusat (centralized) dan pengagihan kuasa pusat (decentralized). Dalam pengurusan pendidikan sekolah bestari ini kedua-dua pendekatan ini digunakan serentak. Sekolah bestari memberi penekanan kepada perkembangan individu secara menyeluruh dengan memberi fokus bukan sahaja kepada dominan intelektual tetapi juga dominan afektif. Justeru , teknologi terbaru digunakan untuk memperkembangkan peranan pengajaran melampaui bilik darjah biasa, mempertingkatkan kualiti pengajaran ke arah akses kendiri, terarah pelajar dan mengikut kadar pembelajaran individu. Bilik darjah masih menjadi fokus pengajaran terus di mana interaksi harian antara guru dengan pelajar lain akan terus menjadi bahagian penting dalam sekolah bestari. Ini memberi peluang agar keseluruhan aspek penting pengajaran tidak terkeluar dari konsep sekolah bestari dan diimplementasikan kepada masyarakat sekolah.

Ciri-Ciri Sekolah Bestari
Sekolah bestari merupakan penaja serta peneraju kepada perubahan kesemua aspek pendidikan seperti cara pengurusan sekolah, organisasi bilik darjah, penggunaan masa, pengukuran pencapaian, tugasan pelajar, tanggungjawab, hubungan sekolah dengan masyarakat setempat dan persekitaran. Sekolah bestari akan menampilkan ciri-ciri yang membezakannya daripada sekolah-sekolah sedia ada. Antaranya ialah :
1. Sekolah bestari akan dihubungkan melalui jaringan kawasan tempatan untuk berkongsi maklumat melalui telekonferensing, pengkalan data dan mel elektrik.
2. Sekolah bestari akan dihubungkan melalui jaringan kawasan luas ke sekolah lain, organisasi daerah, negara serta dunia.
3. Sekolah bestari juga akan dapat disesuaikan mengikut kehendak guru, pelajar dan pentadbir dengan menyediakan pelbagai perisian aplikasi.
Perkins, menjelaskan perlu wujud tiga ciri utama dalam sesebuah sekolah bestari. Ciri-ciri ini harus diberikan keutamaan dan penekanan kepada pengajaran dan pembelajaran. Ciri-ciri yang dicadangkan oleh Perkins ialah:
1. Berilmu
Pentadbir sekolah, guru dan pelajar mempunyai maklumat yang banyak mengenai pemikiran dan pembelajaran serta bagaimana menggunakan maklumat tersebut sebaik-baiknya. Mereka juga mengetahui tentang struktur sekolah dan corak kerjasama yang wujud serta bagaimana melaksanakannya dengan baik.
2. Bertenaga
Selain ilmu pengetahuan, sekolah bestari sangat memerlukan semangat dan keyakinan agar sekolah bestari lebih bertenaga berbanding sekolah biasa. Sekolah bestari perlu mengambil langkah-langkah untuk memupuk tenaga positif dalam struktur sekolah, gaya pentadbiran dan layanan yang diberikan kepada guru dan pelajar.
` 3. Berpemikiran
Sekolah bestari akan memberi penekanan kepada peningkatan daya pemikiran pelajar agar mereka menjadi manusia yang mempunyai ilmu dan tenaga maklumat yang boleh diolah oleh pemikiran. Sekolah bestari juga menjadi tempat berpemikiran dalam erti kata sentiasa mengambil berat dan penyayang. Setiap orang peka akan keperluan orang lain dan melayaninya dengan baik. Proses pengajaran dan pembelajaran serta proses membuat keputusan adalah berpusatkan pemikiran.
Ketiga-tiga ciri sekolah bestari ini bertujuan untuk mencapai satu matlamat utama iaitu pengembangan ilmu. Seseorang yang berilmu, bertenaga dan berpemikiran tidak seharusnya terus memendamkan ilmunya tanpa berfungsi apa-apa sebaliknya berupaya mengembangkan ilmu bagi menerokai pelbagai ilmu yang lain untuk mengatasi pelbagai persoalan hidup. Ilmu juga merupakan asas terpenting untuk mengenal diri dan persoalan kehidupan sama ada yang berkaitan dengan alam persekolahan mahupun kemasyarakatan. Ilmu juga akan menentukan tingkat keyakinan seseorang kepada agama yang dianuti bagi menjernihkan lagi amalan-amalan yang dapat meningkatkan keimanan. Untuk tujuan tersebut, pengembangan ilmu meliputi proses penyimpanan, pemahaman dan penggunaan aktif ilmu.

Unsur-Unsur
Sekolah bestari merujuk kepada sekolah yang mempunyai unsur-unsur tertentu yang akan meningkatkan lagi keberkesanan sekolah tersebut berbanding sekolah yang sedia ada. Antara unsur-unsur yang perlu diberi perhatian di sekolah bestari ialah:
1. Kurikulum
2. Pengurusan
3. Pemikiran
4. Pengajaran dan pembelajaran.
5. Teknologi
6. Penilaian

Peranan Sekolah Bestari
Pentadbiran dan kepemimpinan sekolah merupakan tunggak kejayaan sesebuah sekolah. Pengetua atau guru besar mempunyai peranan yang sangat penting dalam mengembangkan pengaruh untuk menyebar, merancang, menyedia dan melaksanakan program sekolah bestari ini. Sekolah bestari mengambil kira keperluan pentadbir, guru, pelajar dan keperluan sekolah. Penggunaan teknologi maklumat sebagai alat penyimpan data akan memudahkan pentadbir untuk mendapatkan semula data dan menggunakannya apabila diperlukan. Penggunaan teknologi maklumat juga akan mempercepatkan pentadbir membuat keputusan. Seterusnya komunikasi akan dipercepat antara pentadbir dan rakan sejawat di sekolah sendiri dan di sekolah lain. Malah, komunikasi antara pentadbir dan pelajar akan menjadi lebih berkesan.

Peranan Pengetua/ Guru Besar
Pengetua atau Guru Besar dianggap sebagai peneraju kepada kejayaan sesebuah sekolah bestari. Mereka mempunyai peranan yang sangat besar untuk menentukan manusia yang dilahirkan dari sekolah mempunyai nilai yang sangat penting kepada masyarakat, negara dan agama. Amanah sebagai Pengetua dan guru besar akan dipersoalkan oleh masyarakat dan juga negara sekiranya pengetua dan guru besar mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap kebajikan guru, pekerja dan pelajar di bawah jagaan mereka. Antara peranan pengetua dan guru besar ialah:
1. Menggalakkan interaksi sepanjang hari dan masa antara guru guru dengan pentadbir, guru dengan pelajar, serta pentadbir dengan semua warga sekolah. Interaksi ini adalah untuk kepentingan pengajaran dan pembelajaran serta proses penting ke arah pencapaian kecemerlangan sekolah.
2. Menggalakkan guru mengemukakan dan menyelesaikan soalan yang bermakna tentang profesion-profesion dan kandungan mata pelajaran sementara pelajar didedahkan dengan segala misteri, kegembiraan dan kenikmatan sesuatu mata pelajaran.
3. Menganggap diri sendiri sebagai "penyoal utama" kerana pengetua atau guru besar senantiasa membuat penilaian terhadap prestasi kerja warga sekolah. Mereka akan bertanggungjawab terhadap setiap program dan aktiviti yang dijalankan bagi mencapai hasrat sekolah bestari.
4. Menggalakkan guru mencuba, memerhati antara satu sama lain dan membincangkan dapatan mereka, melibatkan guru dalam penyediaan wawasan, mengubah strategi untuk melaksanakan wawasan, sentiasa membuat refleksi tentang kemajuan diri dan menentukan matlamat baru.



Guru Sebagai Fasilitator
Guru akan memainkan peranan sebagai fasilitator kepada proses pengajaran dan pembelajaran. Guru tidak lagi dianggap sebagai pencurah maklumat sahaja tetapi melibatkan diri dalam membimbing serta mendorong pelajar menjadi pintar dan bestari. Guru pintar diperlukan bagi melahirkan pelajar pintar. Guru perlu memainkan peranan baru bagi membebaskan mereka daripada keperluan menjadi sumber pengetahuan sahaja. Guru akan membantu pelajar menentukan matlamat, merancang jadual belajar dan menentukan kesesuaian strategi pengajaran dan pembelajaran. Tegasnya, guru dianggap sebagai model dan contoh serta penggalak ke arah kejayaan pelajar kerana kejayaan itu ditentukan oleh pelajar sendiri.
Selain itu, tugas guru adalah mempertingkatkan kualiti diri dengan menambahkan ilmu pengetahuan terutamanya berkaitan dengan hala tuju kehidupan yang menjadi prinsip serta ilmu-ilmu yang berkaitan dengan penggunaan teknologi semasa. Penggunaan teknologi maklumat akan memudahkan guru menyimpan rekod pelajar, menilai kerja, membuat rancangan mengajar serta pemberian markah yang cepat dan efisien. Alat-alat penyimpanan dan pengeluaran maklumat seperti CD-ROM , pengkalan data, dan sebagainya apabila digabungkan dengan “courseware” akan membolehkan pembelajaran diadakan dalam masa yang singkat dengan kadar pengekalan yang lebih tinggi. Banyak kerja berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran dapat dilakukan dalam masa yang singkat dan kerja berkenaan lebih bermutu. Kesemua ini akan tercapai sekiranya guru memainkan peranan seperti yang dikehendaki oleh sesebuah sekolah bestari.

Pelaksanaan Sekolah Bestari
Pelaksanaan sekolah bestari ialah usaha besar yang dirancang dan akan berlangsung hingga ke abad yang akan datang. Mengikut Barell (1995) dalam Pengurusan Pembelajaran Bestari (2001), pelaksanaan sekolah bestari yang akan mewujudkan budaya berpemikiran perlulah mengambil kira beberapa aspek berikut:
1. Penggubalan falsafah dan misi sekolah untuk memastikan kefahaman dan hala tuju yang sama.
2. Penggubalan program pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan pentadbir, guru dan pelajar.
3. Penyusunan semula organisasi sekolah dan proses membuat keputusan untuk melibatkan guru dan pelajar.
4. Penyediaan persekitaran fizikal yang membayangkan budaya berpemikiran di sekolah.
5. Perkembangan sistem ganjaran dan pengiktirafan untuk menggalakkan penglibatan guru dan pelajar.
6. Pengstrukturan semula perkembangan staf untuk menggalakkan guru berkongsi pengalaman pengajaran dan pembelajaran, kejayaan dan kegagalan, pendapat dan saranan.

Pelaksanaan sekolah bestari dilakukan secara beransur-ansur melibatkan 85 buah sekolah yang dirancang operasinya mulai Januari 1999 yang lalu. Pada tahun berikutnya jumlah meningkat ke 500 buah dan menjelang 2010 Kementerian Pendidikan mengharapkan agar semua sekolah akan menjadi sekolah bestari.
Kita sebagai pendidik di seluruh negara bertanggungjawab membantu untuk merealisasi dan melahirkan pelajar-pelajar yang bestari dalam semua aspek kehidupan demi mendapat kejayaan dan kebahagiaan dunia dan akhirat dalam mecari mardhatillah.

Rujukan
A handbook for creating smart schools(1999). Http://www.darkwing.uoregon.edu/~ncite/smart.htm

Covey, S. (1989). Seven habits of highly effective people. New York: Simon and Schuster.

Pengurusan Pembelajaran Bestari (2001). Http://www.mahirppb.tripod.com/gaya.html

Pusat Perkembangan Kurikulum (1998). Huraian Sukatan Pelajaran Sains KBSM Tingkatan Satu. Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pusat Perkembangan Kurikulum (1998). Huraian Sukatan Pelajaran Sains KBSM Tingkatan Empat. Kementerian Pendidikan Malaysia.

The Malaysian smart school (1997). A Conceptual Blueprint. Malaysian Ministry of Education.
geovisit();

No comments: