Friday, April 20, 2007

Rumahku Syurgaku

RUMAHKU SYURGAKU

PENDAHULUAN

Dalam keghairahan negara untuk mencapai matlamat pembangunan bangsa yang maju dan dinamik yang bersendirian kepada pembangunan sains dan teknologi, tidak dapat dinafikan akan berlaku kesan-kesan sampingan atau pengaruh–pengaruh negatif dari budaya asing yang boleh merosakkan anak muda, mengugut kestabilan dan kecemerlangan bangsa. Gejala mungkar yang berlaku dalam masyarakat hari ini terutama di kalangan muda mudi seperti pergaulan bebas, penyalahgunaan dadah, mencuri, malas dan sebagainya adalah di antara bukti yang jelas terhadap perlunya peranan yang mesti dimainkan oleh ibu bapa.
Gejala-gejala seperti kerapuhan pegangan agama, kekosongan jiwa, kekurangan daya tenaga dan pemikiran di kalangan muda mudi, krisis rumahtangga, perilaku anak-anak yang liar, tidak ada pegangan hidup, tidak menghormati orang tua, lebih suka kepada kebebasan mutlak dan keseronokan serta hanyut dalam arus pengaruh kebudayaan asing yang lebih banyak merosakkan jiwa adalah akibat daripada kelonggaran disiplin dalam sistem kekeluargaan.
Sehubungan dengan Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri telah memberi penekanan penting mengenai perkara ini dengan menegaskan bahawa di antara cabaran-cabaran yang mesti diatasi bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang benar-benar maju ialah membentuk sebuah masyarakat berbudi dan berbudaya penyayang, sebuah sistem sosial yang lebih mementingkan masyarakat daripada diri sendiri, dengan kebajikan rakyat tidak diasaskan pada negara mahupun individu tetapi pada sistem kekeluargaan yang kukuh lagi mantap.
Satu hal yang menjadi keyakinan umum bahawa kebajikan seseorang insan adalah berpunca daripada sistem kekeluargaan yang berlandaskan agama. Darinya akan mewujudkan sebuah masyarakat yang berbudi dan berbudaya mulia yang akhirnya akan membentuk satu sistem sosial yang mantap dan dapat menghadapi pelbagai arus cabaran. Memandangkan betapa pentingnya institusi kekeluargaan dalam pembentukan masyarakat yang berbudi dan berbudaya penyayang, maka sewajarnya ia diberi perhatian utama. Justeru itu satu program khusus diperkenalkan yang diberi nama “RUMAHKU SYURGAKU”. Program ini dilaksanakan dengan tujuan mewujudkan keluarga bahagia ke arah melahirkan masyarakat penyayang dan bersatupadu selaras dengan ajaran Islam dan wawasan 2020.
KONSEP DAN FALSAFAH 'RUMAHKU SYURGAKU'
Konsep dan falsafah bagi mencapai matlamat rancangan ‘RUMAHKU SYURGAKU’ ini adalah berasaskan kepada syariat Islam yang merangkumi segenap aspek kehidupan. Diantara aspek-aspek yang ditekankan dalam rancangan ini ialah membina kebahagiaan, meningkatkan daya intelek, mewujudkan suasana penghayatan Islam dan kedamaian dalam keluarga, penjagaan kesihatan, mewujudkan keselesaan dan keindahan dalam rumah, mengamalkan perhubungan yang baik dan berkesan serta membina sifat penyayang dan toleransi di kalangan anggota keluarga.
Huraian Konsep Dan Falsafah ‘Rumahku Syurgaku’
1. Membina Kebahagiaan Kebahagiaan adalah sesuatu yang abstrak yang lahir dari hati seseorang. Tanda kebahagiaan antaranya dapat dilihat apabila seseorang itu berasa senang, suka dan gembira melalui raut wajah dan tingkah lakunya. Nilai kebahagiaan itu tidak mungkin dapat diagihkan kepada orang lain. Hadith Rasulullah s.a.w. sangat tepat membayangkan betapa bahagia itu perlu dalam hidup setiap insan. Diriwayatkan daripada An-Nu’man bin Basyir, Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya: “Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak, rosak pulalah seluruh badan, Ingatlah ia adalah hati".(Riwayat Bukhari dan Muslim) Hadith ini jelas menerangkan bahawa kebaikan diri manusia itu terletak pada hatinya. Kalau ia baik, maka seluruh diri manusia itu akan menjadi baik. Sekiranya ia rosak yakni mempunyai penyakit-penyakit hati, maka manusia itu tidak akan dapat mengecapi nikmat kebaikan dan kebahagiaan.
Kebahagiaan adalah sesuatu yang amat penting kepada setiap insan. Ia menjadi suatu matlamat hidup seseorang sama ada di dunia mahupun di akhirat. Sebab itu setiap orang sanggup bersusah payah dan bermati-matian untuk mencari kebahagiaan. Kegagalan mendapat kebahagiaan membawa kepada kekecewaan. Kerana itu, ramai orang menjadi gila kerana hidupnya tidak bahagia. Ada pula yang sanggup mati kerana gagal menemui kebahagiaan.
Semua orang perlukan kebahagiaan hidup sama ada untuk sementara atau selamanya. Penentuan kebahagiaan berkait rapat dengan sikap, kedudukan dan fahaman seseorang terhadap kebahagiaan. Ada orang beranggapan bahawa kebahagiaan itu boleh dicapai dengan adanya harta dan wang ringgit yang banyak. Ada pula beranggapan kebahagiaan itu ialah mengenepikan hal-hal keduniaan, kemajuan dan kemewahan. Walau bagaimanapun, kebahagiaan seperti ini adalah berkisar kepada faktor kebendaan semata-mata. Apakah kebahagiaan yang sebenar? Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya: “Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan sebenar ialah kaya hati.”(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Maksud kaya hati seperti yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. itu ialah apabila hati menjadi tenteram, tenang dan merasa cukup terhadap nikmat yang dimiliki. Dari hadith ini nyatalah bahawa harta benda bukan ukuran kebahagiaan seseorang, tetapi kebahagiaan itu sebenarnya terletak di hati. Dalam hal ini, hati perlu dijaga dan beri haknya, supaya lahir sifat-sifat mulia dan terpuji seperti amanah, bersyukur, sangka baik terhadap orang lain dan sebagainya. Jelaslah bahawa dalam sesebuah rumahtangga kebahagiaan hati adalah sesuatu yang amat perlu.
Antara cara untuk mencapai kebahagiaan ialah seperti berikut:
(a) Niat Yang Baik
Salah satu cara mendapatkan kebahagiaan hidup ialah dengan membetulkan niat dalam merancang sesuatu tindakan. Dalam hubungan ini seseorang itu hendaklah melatih hatinya supaya sentiasa berniat baik dan inginkan sesuatu yang baik. Latihan sebegini dapat menjadikan seseorang itu bersifat positif dan optimis dalam melakukan sesuatu. Wajahnya akan kelihatan sentiasa riang dan tenang.
(b) Perbuatan Yang Baik
Satu lagi proses mendapat kebahagiaan hati ialah dengan melakukan perbuatan yang baik atau disebut sebagai amal saleh. Amal ini mestilah disertakan dengan niat yang baik. Dalam melakukan amal saleh, umat Islam disuruh sentiasa melakukan kerja-kerja baik dan meninggalkan kerja-kerja yang baik. Antara amal-amal saleh ialah tolong menolong, amanah, sopan santun, benci dan menjauhi maksiat, bercakap benar, penyayang dan lain-lain.
Kemuncak kebahagiaan dalam hidup seseorang ialah apabila ia telah berjaya melakukan kebaikan atau amal saleh serta menghindar segala bentuk larangan yang ditentukan oleh Islam. Ciri utama yang menjadi ukuran masyarakat bahagia ialah mereka patuh kepada suruhan Allah secara terus menerus dengan penuh khusyuk dan khudu’. Ini menepati maksud firman Allah dalam surah al-Mukminun ayat 1-11.
Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyu’ dalam sembahyangnya, dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); dan mereka yang menjaga kehormatannya, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidaklah tercela, kemudian sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas; dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya, dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya, mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi; yang akan mewarisi syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya".(al-Mukminun: 1-11)
2. Membina Intelek dan Meningkatkan Ilmu Pengetahuan
Hidup dalam erti kata seperti yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. di dalam al-Quran, ayat 77 surah al-Qasas, ialah untuk tidak melupakan nasib di dunia. Untuk tidak mengabaikan urusan memperjuangkan nasib di dunia ini setiap umat Islam mestilah mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan daya intelek masing-masing. Dengan ketinggian ilmu pengetahuan dan daya intelek itulah mereka dapat menjangkau pelbagai keperluan, melepasi segala halangan dan rintangan dan mencapai ketinggian darjat selayak dengan cita-cita Islam sebagai agama yang tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya. Ketinggian Islam tidak memberi erti kalau kehidupan umatnya tanpa kualiti.
Ilmu pengetahuan mempunyai tiga kepentingan utama. Pertama; Membentuk peribadi muslim supaya dapat menjalani suruhan agama dengan sewajarnya. Kedua; Membentuk sebuah umat yang kuat. Ketiga: Mempertahankan kesucian dan ketinggian agama Islam. Sekiranya umat Islam tidak mempunyai ilmu pengetahuan, kesucian dan ketinggian agama Islam akan terjejas.
Ilmu pengetahuan adalah satu perkara yang sangat luas bidangnya dan sememangnya tidak mampu dikuasai semuanya oleh manusia. Di dalam al-Quran Allah S.W.T. telah mengumpamakan ilmu itu sebagai lautan luas, yang mungkin mampu diperolihi oleh manusia hanyalah setitis daripadanya sahaja. Walaupun begitu peri pentingnya ilmu pengetahuan itu tidak boleh dinafikan, sehingga pencariannya dikategorikan sebagai satu tuntutan yang fardhu. Rasulullah s.a.w. menyebutkan melalui sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Maiah dari Anas:
Maksudnya: Daripada Anas r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Menurut ilmu itu wajib ke atas tiap-tiap orang Islam.”(Riwayat Ibnu Majah)
Begitulah pentingnya ilmu pengetahuan yang sangat-sangat dititik beratkan oleh Islam supaya setiap orang mencarinya, tidak kira dalam apa bidang pun selagi ia mendatangkan kebaikan dan diredhai oleh Allah S.W.T.
Dalam konteks membina ‘syurga’ dalam rumahtangga, kesedaran terhadap peri pentingnya ilmu pengetahuan sangat mustahak. Ibu bapa selaku ketua keluarga mempunyai peranan yang besar dalam mencorakkan anak-anaknya. Bermula di peringkat bayi, malah sejak dari dalam kandungan lagi, sehinggalah mereka remaja dan seterusnya dewasa, pendidikan perlu diberikan mengikut tahap dan peringkat masing-masing. Kemudahan-kemudahan pelajaran yang sedia ada seperti tadika, sekolah, maktab dan pusat pengajian tinggi seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya.
Ibu bapa selaku pengemudi keluarga sewajibnya mempunyai perancangan dan usaha yang lebih bagi mempertingkatkan pengetahuan dan daya intelek di kalangan ahlinya. Di samping itu setiap ahli keluarga pula semestinya mempunyai kesedaran untuk mempertingkatkan pengetahuan dan daya pemikiran masing-masing sesuai dengan kemampuan yang ada tanpa rasa malas dan jemu. Pandangan berat Islam yang telah meletakkan pencarian ilmu itu sebagai satu kewajipan sepatutnya disedari oleh orang kerana maju atau membangunnya sesebuah keluarga itu adalah kerana ilmu pengetahuan.
Dari segi piawai ilmu bagi sesebuah keluarga, setiap ahli keluarga bermula dengan ibu dan bapa, mereka mestilah mengetahui ilmu-ilmu fardhu ain, iaitu berkait dengan akidah, syariah dan akhlak. Dari segi akidah, seseorang itu wajib mengetahui asas-asas kepercayaan mengenai ketuhanan, Allah Yang Maha Esa dan perkara-perkara di sekitar soal keimanan yang disimpulkan di dalam rukun iman. Dari segi ilmu syariah, mereka wajib mengetahui adab-adab serta peraturan-peraturan amal ibadat. Manakala dalam bidang akhlak pula, mereka wajib mengetahui dan mengamalkan akhlak Islam sebagaimana yang digariskan di dalam al-Quran dan as-sunnah, seperti taat kepada ibu bapa, tolong menolong sesama ahli keluarga dan masyarakat, menghormati jiran tetangga dan lain-lain. Perkara-perkara ini merupakan asas yang wajib dipelajari dan dihayati oleh setiap anggota keluarga.
Di samping fardhu ain, setiap anggota keluarga juga perlu mempelajari fardhu kifayah iaitu ilmu-ilmu yang lebih bersifat kepentingan umum, yang ada kaitan langsung dengan keperluan hidup manusia seperti penyediaan bahan makanan dan barang-barang gunaan, bidang sains dan teknologi, kedoktoran, kejuruteraan, perindustrian, pembinaan tempat kediaman, penyediaan infrastruktur dan lain-lain. Pelaksanaan sebahagian daripada tuntutan agama juga terkandung sebagai fardhu kifayah, umpamanya pengurusan jenazah, sembahyang berjemaah di masjid dan lain-lain. Ilmu-ilmu yang terkandung dalam bidang fardhu kifayah ini tidak diwajibkan kepada setiap individu tetapi memadai sekiranya ada sebilangan atau seorang sahaja di dalam kelompoknya yang mempelajari atau mengetahui ilmu tersebut. Apabila seorang sahaja mengetahuinya, pada masa itu gugurlah kefardhuannya ke atas orang lain, tetapi sekiranya tidak ada seorang pun yang mempelajari sesuatu ilmu itu, maka semua orang adalah berdosa.
Hal-hal seharian di dalam keluarga seperti percakapan, bahasa yang digunakan, tingkahlaku yang ditunjukkan dan pergaulan yang diwujudkan semestinya dalam piawai ilmu dan intelek yang tinggi yang dibentuk dalam suasana harmoni. Nilai-nilai intelek yang rendah seperti melebih-lebihkan perbicaraan tentang hiburan, cakap-cakap kosong, membanyakkan kegiatan yang tidak berfaedah dan lain-lain urusan yang membazir serta tidak bermanfaat hendaklah dihindarkan. Kesedaran hendaklah ditanamkan di dalam keluarga bahawa orang-orang yang berilmu serta berakhlak mulia tidak akan melakukan perkara-perkara seperti itu. Akal yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia menunjukkan bahawa manusia adalah makhluk yang mulia dan kurniaan itu mestilah dipelihara.
Setiap ahli keluarga mestilah menyedari bahawa orang-orang yang berilmu pengetahuan sememangnya tidak sama dengan orang-orang yang tidak berilmu pengetahuan. Orang-orang yang berilmu selain mendapat kemuliaan daripada Allah S.W.T. mereka adalah orang-orang yang menjadi harapan kepada sesuatu keluarga, kelompok masyarakat dan seterusnya negara. Merekalah menjadi pembimbing, pentadbir, pemimpin, pelindung dan tempat rujukan orang awam. Kalaulah sesuatu keluarga atau masyarakat atau bangsa itu tidak mempunyai orang-orang yang berilmu maka kedudukan mereka akan menjadi pincang dan tidak maju.
Jelaslah bahawa ilmu pengetahuan adalah satu perkara yang sangat penting dalam membentuk kehidupan yang bahagia dalam rumahtangga. Maka sebab itulah ia menjadi satu perintah yang wajib bagi setiap orang mencarinya. Saiyyidina Ali r.a. pernah berpesan:
“Ketahuilah bahawa ilmu pengetahuan adalah lebih baik daripada harta benda, sebab ilmu pengetahuan dapat menjaga dirimu, sedangkan harta benda engkaulah yang harus menjaganya. Ilmu pengetahuan adalah pihak yang berkuasa, sedangkan harta benda adalah pihak yang dikuasai. Harta benda akan berkurangan jika dibelanjakan, sedangkan ilmu pengetahuan akan bertambah-tambah jika diberikan kepada orang lain.”
3. Mewujudkan Suasana Penghayatan Islam Dan Kedamaian Dalam Keluarga
Islam telah meletakkan asas yang sempurna supaya rumah menjadi suatu tempat yang selesa kerana kebahagiaan itu bermula dari rumah. Untuk menjadikan rumah itu sebagai syurga maka aktiviti-aktiviti berikut adalah menjadi asas utama di dalam pembentukan rumahtangga.
(a) Menghidupkan Sembahyang Berjemaah
Dalam Islam, amalan yang paling pokok ialah sembahyang. Sembahyang boleh menjadi ukuran kepada seseorang sama ada ia seorang Islam yang sempurna atau pun tidak. Orang yang mengaku dirinya beragama Islam, tidak sempurna Islamnya jika ia tidak melakukan ibadat sembahyang. Sembahyang berjemaah di masjid atau surau dituntut oleh Islam. Kelebihannya sangat besar dan pahalanya 27 kali ganda daripada sembahyang berseorangan. Sembahyang jemaah dapat mewujudkan hubungan silaturrahim, melahirkan perhubungan kasih sayang dan semangat kekitaan dan dapat menghindarkan perasaan mementingkan diri sendiri. Oleh itu bagi orang yang tidak berhampiran atau berdekatan dengan masjid atau surau adalah disunatkan ke masjid atau surau bersama keluarga bagi menunaikan sembahyang jemaah.
Bagi orang yang tinggal jauh dari masjid, mereka digalakkan mengerjakan sembahyang jemaah di rumah bersama keluarga. Bapa sebagai ketua keluarga adalah bertindak sebagai imam, manakala anak-anak dan isteri sebagai makmum. Waktu yang amat sesuai diadakan sembahyang jemaah ialah waktu Maghrib, Isyak dan Subuh, kerana waktu-waktu itu lazimnya ibu bapa dan anak-anak berada di rumah. Jika terdapat tetamu yang mengunjungi rumah pada waktu tersebut, eloklah mereka diajak bersembahyang jemaah bersama-sama .
Bagi membentuk keluarga yang bahagia dan menjadikan rumah sebagai syurga, maka sembahyang berjemaah sekeluarga mesti diadakan secara terus menerus, sekurang-kurangnya sekali seminggu bagi keluarga yang sibuk, atau tiap-tiap hari bagi keluarga yang mempunyai kemampuan. Amalan ini mempunyai faedah yang besar serta dapat mendidik anak-anak menghayati Islam dengan sebenar, serta dapat membentuk akhlak yang baik. Ibu bapa sebagai pemegang amanah daripada Allah S.W.T. untuk mendidik dan mencorakkan anak-anak mereka ke jalan yang benar, adalah berkewajipan untuk mendidik anak-anak mereka tentang pelaksanaan tanggungjawab ibadat sejak mereka masih kecil lagi.
(b) Membaca al-Quran Bersama Di rumah
Membaca al-Quran mempunyai pahala yang besar, amalan ini boleh mengukuhkan keimanan seseorang dan mendekatkan diri kepada Allah serta memberi ketenangan kepada hati. Firman Allah di dalam surah ar-Ra’d ayat 28:
Maksudnya: “(iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan ‘zikrullah’ itu, tenang tenteramlah hati manusia.”
Menurut Tafsir Pimpinan ar-Rahman terbitan JAKIM, ‘zikrullah’ pada ayat ini maksudnya al-Quran al-Karim yang menjadi sebesar-besar mukjizat yang tidak ada tolok bandingnya. Nyatalah bahawa membaca al-Quran itu menjadi ibadat yang sangat berfaedah bagi seseorang muslim yang patut dilakukan pada setiap hari sama ada di waktu pagi, petang ataupun malam.
Keluarga bahagia ialah keluarga yang dapat membaca dan menghayati isi al-Quran dengan baik. Sistem pendidikan negara kita membolehkan semua rakyat mampu membaca al-Quran. Oleh kerana membaca al-Quran adalah satu ibadat yang amat penting dan utama dalam kehidupan orang Islam, maka perlulah diikhtiarkan cara yang berkesan supaya amalan ini dapat dihayati dalam kehidupan harian.
Dalam program secara bersama dalam keluarga hendaklah menjadi amalan harian atau sekurang-kurangnya satu kali seminggu. Al-Quran mengandungi 604 halaman, jika dalam masa seminggu dibaca dua halaman, maka dalam tempoh satu tahun hampir separuh dari al-Quran dapat dihabiskan. Amalan ini hendaklah diteruskan sepanjang hayat.
(c) Membaca Buku Agama Di Rumah Beramai-ramai
Satu lagi amalan dalam rumahtangga yang bahagia ialah mengumpulkan keluarga sekurang-kurangnya satu kali dalam seminggu untuk membaca buku agama. Buku agama ini boleh dipilih dari buku-buku yang terkenal dalam berbagai bidang seperti sejarah Islam, sejarah ulama’ dan pemikiran Islam, asas-asas fardhu ain, ilmu tauhid, akhlak dan lain-lain.
Dengan cara membaca buku agama, secara tidak langsung boleh menambah dan meluaskan ilmu pengetahuan ahli keluarga. Melalui amalan membaca buku di rumah ini juga dapat melatih ahli keluarga khususnya anak-anak yang dalam proses pembelajaran untuk meningkatkan pengetahuan mereka. Dalam hubungan ini kaedah yang boleh digunakan ialah membaca bergilir-gilir di antara ibu, bapa dan anak.
(d) Makan Bersama Sekeluarga
Keluarga bahagia ialah keluarga yang dapat mewujudkan tradisi makan bersama-sama sekurang-kurangnya sekali seminggu iaitu pada cuti hujung minggu. Malam adalah waktu yang agak sesuai untuk menghadapi makanan secara bersama keluarga kerana semua ahli keluarga di waktu itu telah selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing di dalam bidang pekerjaan dan pelajaran. Makan bersama keluarga boleh mengeratkan lagi rasa kasih sayang antara anggota keluarga.
Ibu bapa harus memainkan peranan bagi mewujudkan suasana yang harmoni ketika makan. Inilah di antara kesempatan terbaik untuk ibu bapa berbicara dengan anak-anak dan dapat memberi nasihat, menanam pendidikan dan memupuk kasih sayang dalam keluarga.
Sebagai contoh, semasa menghadapi makanan dinasihatkan membaca ‘bismillah’ bagi mendapatkan keberkatan terhadap makanan dan minuman tersebut dan sebagai tanda terima kasih terhadap Allah yang telah memberikan rezeki. Semasa hendak menjamah makanan yang dihidangkan seorang ahli keluarga, bapa atau ibu hendaklah membaca doa ringkas iaitu:
Maksudnya: Daripada Abdullah bin Amr, daripada Nabi s.a.w. bahawasanya baginda membaca doa apabila dihidangkan makanan kepada mereka dengan doa yang bermaksud: "Ya Allah berkatilah rezeki yang engkau berikan kepada kami dan jauhkanlah kami daripada azab api neraka, dengan nama Allah".(Riwayat Abu Bakar ibn as-Sunni) Semasa makan bersama keluarga, anak-anak hendaklah diperingatkan supaya tidak memulakan makan atau minum kecuali setelah dimulakan oleh ibu bapa atau orang yang lebih tua. Begitulah juga adab di dalam satu-satu majlis makan yang lain. Ini adalah bertepatan dengan hadith Nabi s.a.w. yang menyebut:
Maksudnya: Daripada Huzaifah r.a. katanya: “Apabila kami bersama-sama Rasulullah s.a.w. menghadapi makanan, kami tidak menghulurkan tangan sehingga Baginda memulakan menjamah makanan tersebut terlebih dahulu.”(Riwayat Muslim)
Ibu bapa juga adalah bertanggungjawab untuk sentiasa mendisiplinkan anak-anak sewaktu makan dengan tidak banyak bercakap tentang perkara-perkara yang tidak berfaedah, melarang makan di tempat-tempat yang tidak sesuai seperti di ruang tamu, di hadapan TV dan di dalam bilik tidur. Memulakan makanan dari sebelah kanan, makan dengan tidak gelojoh dan lain-lain.
(e) Memberi Salam Semasa Masuk Atau Meninggalkan Rumah
Keluarga bahagia pulang ke rumah dengan keadaan gembira. Apabila samapai ke pintu rumah mereka akan menyampaikan salam dan anggota di dalamnya menjawab salam tersebut dengan jelas. Demikianlah juga apabila mereka meninggalkan rumah untuk pergi bekerja atau ke sekolah. Amalan ini wajar dihayati sebagai amalan harian kerana ia boleh membuatkan hubungan di kalangan semua anggota keluarga terus mesra dan kukuh.
Ucapan salam ialah doa seseorang kepada seseorang yang lain supaya sentiasa berada di dalam suasana kebaikan dan keselamatan dan juga merupakan penghubung kasih sayang di antara sesama manusia. Oleh itu ibu bapa wajar mempraktikkan salam ini supaya dapat diikuti anak-anak mereka.
(f) Minta Keizinan Masuk Bilik
Setiap ibu bapa perlulah melatih anak-anak meminta izin atau kebenaran sebelum mereka masuk ke bilik tidur ibu bapa. Dalam hal ini Allah S.W.T. telah memberi panduan melalui firman-Nya dalam surah an-Nur ayat 58:
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu) dalam tiga masa, (iaitu) sebelum sembahyang Subuh dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari dan sesudah sembahyang Isya’; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kemudian mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-NYA (yang menjelaskan hukum-hukum-NYA); dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Bijaksana.”(An-Nur : 58)
4. Mengekalkan Kedamaian Dan Kerukunan Rumahtangga
Rumahtangga bahagia ialah rumahtangga yang wujud unsur-unsur kedamaian dan keselesaan. Suami sebagai ketua keluarga adalah berkewajipan memimpin isteri dan anak-anaknya melalui kehidupan yang diredhai Allah dengan memberi didikan agama dan menyemadikan niali-nilai murni kepada mereka.
Antara unsur-unsur kedamaian di dalam rumahtangga ialah:
(a) Tolong Menolong dan Bantu Membantu Dalam Keluarga
Setiap ahli keluarga berkewajipan untuk mendisiplinkan diri bagi melaksanakan tugas masing-masing. Umpamanya suami atau bapa berkewajipan mencari nafkah atau melakukan kerja-kerja yang memerlukan gerakan fizikal yang lebih, manakala isteri atau ibu melakukan kerja- kerja yang agak ringan dan sesuai dengan kemahiran wanita. Begitu juga dengan anak-anak diberikan tugas-tugas tertentu sesuai dengan peringkat umur dan kesanggupan fizikal mereka. Satu program gotong royong di antara ahli keluarga seperti membersihkan rumah patut diadakan sekurang-kurangnya seminggu sekali. Ia boleh mewujudkan perasaan kasih sayang dan rasa tanggungjawab di kalangan ahli keluarga. Melalui program ini rumah sentiasa bersih dan kesihatan dapat dijaga. Allah mengasihi orang-orang yang mengamalkan kebersihan.
(b) Hubungan Kejiranan Yang Baik
Kesejahteraan dalam keluarga bukan hanya diperolihi hasil dari hubungan antara anggota dalam keluarga sahaja malahan hubungan dengan jiran sekeliling juga patut diberi perhatian. Perhubungan kejiranan yang intim akan wujud jikalau semua ahli keluarga berkesempatan untuk berbual-bual mesra, bertukar-tukar fikiran, bergurau senda dan beramah mesra antara satu sama lain. Oleh itu setiap keluarga wajar meluangkan satu masa untuk berinteraksi dengan jiran khususnya jiran yang paling hampir.
(c) Menunaikan Tuntutan Fardhu Kifayah
Selain berbaik-baik dengan jiran tetangga, setiap keluarga juga wajar memiliki beberapa kemahiran. Dalam Islam ilmu dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu fardhu ain dan fardhu kifayah. Maksud fardhu kifayah dalam konteks kesejahteraan keluarga ialah semua ahli keluarga khususnya anak-anak hendaklah dilatih dengan asas-asas kemahiran hidup ataupun ilmu-ilmu teknikal yang ada hubungkait dengan alam rumahtangga. Kemahiran seperti ini perlu bagi setiap ahli keluarga supaya mereka berupaya melakukan sendiri kerja-kerja seperti membaiki kerosakan-kerosakan kecil pada rumah. Memasang dan menukar mentol lampu, membaiki kebocoran paip air dan lain-lain. Di samping itu ahli keluarga hendaklah mempunyai kemahiran asas di dalam membaiki kenderaan yang dipunyai oleh keluarga seperti kereta, motosikal, basikal dan seumpamanya. Ini adalah bersesuaian dengan kehendak negara untuk mewujudkan masyarakat yang bekerja dan berkemahiran.
(d) Mengadakan Aktiviti Rekreasi
Dalam rumahtangga perlu juga ada suasana hiburan dan rekreasi dalam keluarga. Ia boleh menimbulkan kesan positif ke arah kesihatan mental dan fizikal. Jenis-jenis hiburan pula mestilah yang tidak bercanggah dengan hukum Islam. Setiap keluarga juga wajar mengatur program rehlah ke tempat-tempat rekreasi atau lawatan di dalam atau luar negeri mengikut kemampuan keluarga tersebut. Aktiviti ini akan mengeratkan lagi hubungan kasih sayang dan mewujudkan kemesraan dalam keluarga.
5. Menjaga Kesihatan dan Kebersihan Keluarga
Kebahagiaan rumahtangga tidak akan tercapai jika sekiranya terdapat ahli-ahli keluarga sering mengidapi penyakit. Ibu atau bapa yang tidak sihat tidak dapat menguruskan rumahtangga dengan sempurna. Manakala anak-anak yang sakit pula tidak dapat membesar dan berkembang dengan baik. Oleh kerana kesihatan tubuh badan menjadi soal penting dalam hidup seseorang dan memerangi penyakit adalah satu tugas yang wajib di dalam Islam, maka Islam telah menggariskan beberapa panduan yang berkaitan dengan kesihatan seperti berikut;
(a) Makan Makanan Yang Halal
Islam menggesa umatnya supaya memakan benda-benda yang baik dan halal serta melarang memakan benda-benda yang merbahaya dan merosakkan kesihatan. Firman Allah dalam surah an-Nahl ayat 114:
Maksudnya: “Oleh itu makanlah (wahai orang-orang yang beriman) dari apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah akan Dia semata-mata.”(An-Nahl : 114)
Firman Allah S.W.T. dalam surah al-Baqarah ayat 172 :
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepada-NYA.”
Oleh yang demikian, setiap ibu bapa hendaklah mengambil berat tentang makan minum keluarganya dan memastikan setiap makanan yang masuk ke dalam perut keluarganya itu daripada sumber rezeki yang halal.
(b) Makan Makanan Yang Bermutu Dan Berkhasiat
Penjagaan kesihatan dari segi penyimpanan, penyediaan, penghidangan makanan dan keperluan pemakanan perlu dititikberatkan. Penyediaan makanan dan pemakanan perlu dirancang dengan teliti supaya kuantiti dan kualiti zat makanan itu seimbang dengan keperluan setiap keluarga. Seorang ibu wajib menyediakan makanan yang berzat dan berkhasiat. Dalam pemilihan kandungan zat makanan ia tidak semestinya diambil dari bahan-bahan yang mahal tetapi yang penting makanan itu berkhasiat dan tidak memudaratkan kesihatan.
(c) Elakkan Makan Makanan Yang Tidak Bersih
Islam menyuruh umatnya memakan makanan yang baik dan melarang memakan makanan yang tidak bersih. Orang yang mementingkan kesihatan, sentiasa memastikan makanan yang diperolehi dan dimakan oleh keluarganya adalah bersih dan halal. Firman Allah dalam surah an-Nahl ayat 115:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai dan darah, dan daging babi dan binatang yang disembelih tidak kerana Allah, maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, (pada kadar benda yang dimakan itu, maka tidaklah ia berdosa). Sesungguhnya Allah Amat Pengampun Lagi Amat Mengasihani.”
(d) Makan Secara Berlebihan Akan Memudaratkan kesihatan Ibu bapa diingatkan supaya tidak memberi makanan atau minuman secara berlebihan kepada keluarganya, tetapi makanan itu hendaklah disediakan secara sederhana, sekadar memenuhi keperluan tenaga, kesihatan dan pembesaran. Waktu makan hendaklah diatur dan janganlah dibiasakan makan tidak tentu masa kerana ia boleh memudaratkan kesihatan. Dalam hubungan ini Allah S.W.T. berfirman dalam surah al-A’raf ayat 31:
Maksudnya: “...Dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau-lampau. Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”
(e) Mencegah Penyakit
Sesebuah keluarga hendaklah sentiasa melihat tanda-tanda penyakit yang ada pada keluarganya, supaya ia dapat dicegah lebih awal. Kanak-kanak dan orang dewasa yang memerlukan imunisasi hendaklah segera dibawa ke klinik mengikut jadual yang ditetapkan. Dalam Islam langkah pencegahan penyakit adalah sangat dititikberatkan. Peka terhadap pencegahan penyakit adalah antara ciri utama kepada sesebuah keluarga bahagia. Anak-anak hendaklah sentiasa dididik supaya menjaga kebersihan dan mengelakkan daripada benda-benda kotor. Seelok-eloknya di dalam rumah hendaklah disediakan sebuah kotak pertolongan cemas, sebagai persediaan apabila berlaku perkara-perkara yang tidak diingini atau kecemasan.
(f) Menjaga Kebersihan Diri
Satu lagi unsur penting dalam penjagaan kesihatan ialah menjaga kebersihan. Kebersihan adalah asas kepada kesihatan. Islam amat menyukai orang yang cintakan kebersihan serta sentiasa menjaga kebersihan diri kerana sihat adalah suatu nikmat Allah yang amat besar nilainya yang perlu dijaga dan dipelihara. Oleh yang demikian untuk membina keluarga yang sihat dan sejahtera, kebersihan tubuh badan amat dititik-beratkan. Sabda Rasulullah s.a.w.:
Maksudnya: Daripada Ibn Abbas r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda,”Mandi itu adalah wajib ke atas setiap orang Islam yang mana pada setiap tujuh hari, satu hari daripadanya wajib membasuh kepala dan jasmaninya."(Riwayat at-Tabarani)
Sabda Rasulullah s.a.w.
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Lima perkara yang menjadi fitrah manusia iaitu berkhatan, mencukur bulu ari-ari, menggunting misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak.”(Riwayat at-Tabarani)
Dalam hadith yang lain:
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, “Rasulullah s.a.w. memotong kukunya dan mencukur misainya pada hari jumaat sebelum baginda mengerjakan sembahyang.”(Riwayat at-Tabarani)
Daripada ayat al-Quran dan hadith yang dibentang di atas dapat difahami bahawa membersihkan badan seperti mandi, mencukur misai, memotong kuku serta mencukur bulu adalah amalan yang dituntut oleh Islam. Amalan-amalan seperti itu perlulah dilakukan oleh setiap ahli keluarga kerana ia merupakan usaha untuk mengelakkan diri daripada mendapat pelbagai penyakit di samping menjadi lambang kecantikan, kekemasan, kebersihan dan nilai personaliti orang Islam.
Selain daripada itu setiap ahli keluarga juga perlu menjauhi kekotoran yang berpunca daripada najis. Oleh itu Islam menuntut setiap anak lelaki dan perempuan dikhatankan supaya terhindar dan jauh daripada kuman atau penyakit yang boleh memberi kesan kepada kesihatan alat kelamin. Demikian juga Islam mewajibkan beristinjak atau bersuci untuk membersihkan diri daripada sebarang najis dan kotoran apabila selesai membuang air.
Bagi perempuan yang didatangi haid atau najis, mereka hendaklah sentiasa menjaga kebersihan diri supaya tidak dicemari oleh darah haidnya. Mereka hendaklah segera bersuci apabila tempoh haid atau nifasnya tamat.
Salah satu bahagian tubuh badan yang perlu dan penting dijaga ialah rambut. Setiap ahli keluarga perlulah menjaga kebersihan rambut supaya ia kelihatan kemas dan rapi. Sabda Nabi s.a.w.
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang mempunyai rambut maka hendaklah ia merapikannya.”(Riwayat Abu Daud)
Rambut adalah ibarat mahkota seseorang. Oleh yang demikian ia perlulah dijaga dan diurus dengan sebaik-baiknya, disapukan minyak atau ubat yang sesuai supaya cantik, bersih dan menyenangkan mata memandang. Rambut yang berbau busuk amat mengaibkan.
Setiap ahli keluarga juga perlu menjaga kebersihan tangan lebih-lebih lagi ketika hendak menghadapi makanan atau minuman. Sabda Nabi s.a.w.
Maksudnya: “Daripada Ibnu Umar r.a. katanya, Rsulullah s.a.w. bersabda, “Apabila salah seorang daripada kamu hendak makan, maka hendaklah ia membasuh tangannya.”(Riwayat Ibnu ‘Adi)
Daripada hadith di atas, dapat difahamkan bukan tangan sahaja yang perlu bersih malah termasuklah mata, hidung, mulut, kaki dan sebagainya, kerana anggota-anggota tersebut adalah termasuk di dalam anggota-anggota wuduk yang mesti dijaga kebersihannya.
Selain daripada kebersihan tubuh badan dan anggota-anggota lahir, setiap ahli keluarga perlu juga menitik beratkan kebersihan pakaian. Walaupun tujuan ialah untuk menutup aurat tetapi kebersihannya perlu juga dijaga. Firman Allah S.W.T. dalam surah al-Muddathir ayat 4 :
Maksudnya: “Dan pakaianmu maka hendaklah engkau bersihkan.”
Kebersihan pakaian menjadi salah satu daripada syarat sah ibadat sembahyang. Oleh yang demikian ia perlu dijaga supaya tidak terkena sebarang kekotoran dan najis. Keluarga yang bahagia adalah terdiri daripada individu-individu yang sentiasa menghiasi diri dengan pakaian kemas dan bersih. Kebersihan pakaian juga adalah lambang personaliti mulia seseorang Islam.
6. Mengukuh dan Menjaga Ekonomi Rumahtangga
Sesuatu yang tidak dapat dinafikan bahawa wang dan harta adalah satu keperluan dalam kehidupan rumahtangga, lebih-lebih lagi apabila menghadapi zaman yang serba mencabar ini. Pada hari ini boleh dikatakan hampir keseluruhan keperluan hidup memerlukan wang. Oleh sebab itulah Islam menyuruh umatnya supaya kuat bekerja mencari wang dan harta, membina kehidupan yang maju dan kuat supaya dunia ini dipenuhi dengan kemakmuran.
Dalam rumahtangga, bapa sebagai ketua keluarga perlu menyedari hakikat ini. Di samping menyediakan bekalan ilmu dan pendidikan kepada anak isteri supaya hidup mereka terbimbing, dia juga harus kuat berusaha mencari wang dan harta agar dengan wang dan harta itu keluarganya dapat memenuhi sekurang-kurangnya tiga keperluan asasi kehidupan, iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal. Bekerja mencari wang dan rezeki, selain untuk memenuhi keperluan hidup, juga dapat menguatkan sesuatu umat, sebab apabila sesebuah keluarga itu mantap ekonominya, ia akan membantu menguatkan kedudukan bangsa dan negaranya.
Selain memperkukuhkan kedudukan ekonomi rumahtangga, setiap keluarga juga mestilah menguruskan soal-soal perbelanjaan dengan betul dan terancang. Perkara-perkara yang menjadi tegahan agama seperti pambaziran, berbelanja dengan berlebih-lebihan sehingga menimbulkan rasa riya’ atau membeli barang-barang yang tidak perlu dan seumpamanya hendaklah dielakkan. Islam menyuruh umatnya supaya hidup secara sederhana dan sentiasa berjimat cermat. Rezeki yang diperolihi itu sepertiga daripadanya hendaklah dibelanjakan untuk maksud nafkah, satu pertiga untuk maslahat umum seperti zakat, sedekah dan seumpamanya dan sepertiga lagi ialah untuk tabungan. Untuk menjamin hidup masa depan, budaya menabung perlu diamalkan dalam keluarga kata pepatah “beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis.”
7. Mewujudkan Keselesaan Dan Keindahan Dalam Rumahtangga
Rumah adalah tempat sesebuah keluarga menikmati hidup. Keselesaan dalam rumah amat mustahak kerana kebahagiaan keluarga itu bermula dari rumah. Setiap keluarga mestikah mewujudkan suasana yang harmoni dan selesa dalam rumahnya. Maksud keselesaan di sini ialah keselesaan yang memungkinkan setiap anggota keluarga mempunyai bilik tidur yang cukup, ruang rehat yang selesa, mempunyai sistem peredaran dan pertukaran udara di setiap ruang rumah dan lain-lain keperluan seperti ruang dapur, tandas dan sebagainya. Sabda Rasulullah s.a.w.
Maksudnya: “Daripada Saad r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu Wanita yang baik (solehah), tempat tinggal yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang baik.”(Riwayat al-Baihaqi)
Dalam Islam telah ditentukan bahawa kanak-kanak mempunyai tempat tidurnya sendiri. Oleh itu menjadi tanggungjawab ibu bapa melatih kanak-kanak tidur berasingan apabila mereka mencapai umur sepuluh tahun. Di waktu itu tempat tidur anak lelaki dan anak perempuan hendaklah diasingkan supaya tidak timbul sesuatu perkara yang tidak baik. Sabda Rasulullah s.a.w.:
Maksudnya: Daripada Ibnu Amr r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Suruhlah anak kamu menunaikan sembahyang apabila mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika mereka enggan sembahyang) apabila berumur sepuluh tahun, dan asingkan tempat tidur mereka.”(Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Selain daripada mempunyai ruang-ruang yang cukup, hiasan rumah adalah satu ciri penting untuk mewujudkan keluarga bahagia dan menjadikan rumah itu sebuah syurga. Ini kerana setiap insan di dunia ini inginkan sesuatu yang indah., cantik dan menarik. Hal ini adalah selaras dengan anjuran Islam kerana agama Islam sendiri amat mementingkan aspek keindahan dan kebersihan, sebagaimana sabda Nabi s.a.w.
Maksudnya: Daripada Ibnu Mas’ud r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah itu cantik Ia sangat sukakan yang indah dan cantik.”(Riwayat Muslim dan At-Tirmizi)
Keindahan dan kebersihan yang dituntut oleh Islam adalah daripada semua aspek bukan sahaja tertumpu kepada aspek keindahan dan kebersihan alam sekitar, bandar dan pejabat-pejabat sahaja malah termasuklah keindahan dan kebersihan dalam rumahtangga dan sekitarnya. Amalan menjaga kebersihan adalah bermula daripada rumahtangga dan apabila dihayati dengan sepenuhnya akan wujudlah amalan penjagaan kebersihan di luar rumah.
Oleh yang demikian untuk mencapai kebahagiaan bagi sesebuah institusi keluarga dan seterusnya menjadikan rumahtangga itu sebagai syurga perlulah menghayati prinsip-prinsip yang telah ditentukan oleh Islam seperti berikut:
(a) Sentiasa Menjaga Keindahan Dan kebersihan Dalam dan Luar Rumah
Rumahtangga yang bahagia ialah rumahtangga yang sentiasa menjaga keindahan dan kebersihan di dalam dan di luar rumah agar ia kelihatan cantik dan menarik serta dapat memberi ketenteraman dan kenikmatan kepada penghuni rumah. Amalan menjaga keindahan dan kebersihan persekitaran rumah adalah satu amalan yang baik dan mulia. Sekiranya umat Islam tidak menjaga dan mengambil berat terhadap perkara tersebut, mereka akan hidup di dalam suasana yang tidak selesa, gundah gulana dan tidak tenteram. Sabda Nabi s.a.w.:
Maksudnya: Daripada Saad r.a. katanya: “Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bersihkan halaman-halaman kamu, kerana sesungguhnya orang Yahudi tidak membersihkan halaman-halaman rumahnya.”(Riwayat at-Tabarani)
Kebersihan kawasan dan halaman rumah adalah penting untuk mengelak daripada sebarang bentuk pencemaran seperti bau busuk, asap, sampah sarap, pokok-pokok liar, takungan air yang tidak terurus dan sebagainya. Halaman rumah sewajarnya dihiasi dengan tumbuh-tumbuhan yang rendang, pokok-pokok bunga yang berwarna-warni serta harum baunya dan pohon-pohon hijau yang merimbun bagaikan taman-taman yang indah dan mempesona, rapi, teratur dan bersih. Keadaan ini harus dikekalkan supaya ahli keluarga sentiasa dapat menikmatinya. Persekitaran yang indah dan bersih juga perlu bagi pertumbuhan fizikal dan jiwa anak-anak. Persekitaran yang kotor bukan sahaja boleh menyebabkan pelbagai penyakit, malah mereka yang tidak mampu untuk mewujudkan hiasan luaran yang mungkin memerlukan belanja yang agak besar, memadailah dengan menjaga kebersihannya.
(b) Menghiasi Rumah Dengan Peralatan Dan Perhiasan Yang Diredhai Allah S.W.T.
Untuk menjadikan rumah itu sebagai syurga, ia perlulah dihiasi dengan perhiasan dan peralatan supaya dapat meyerikan lagi suasana dalaman sesebuah rumah. Sebaik-baik peralatan dan perhiasan ialah yang sederhana, kerana Islam menuntut umatnya supaya melakukan sesuatu perkara itu mengikut kemampuan masing-masing. Janganlah terlalu boros sehingga menyebabkan berlakunya pembaziran dan membebankan seseorang. Sabda Rasulullah s.a.w.
Maksudnya: Dari Ibnu Al-Harith r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, "... dan sebaik-baik perkara ialah secara sederhana.”(Riwayat al-Baihaqi)
Peralatan dan perhiasan dalam rumah hendaklah disusun dengan kemas dan rapi supaya ia kelihatan cantik dan meyerikan. Ia akan dapat menawan hati setiap ahli keluarga tinggal dengan aman dan bahagia. Hiasilah ruangan dalaman rumah dengan barang-barang, ukiran atau gambar-gambar yang diredhai Allah S.W.T. Jauhilah daripada menghiasi rumah dengan benda-benda yang diharamkan oleh Allah S.W.T. Rumah-rumah yang dihiasi dengan ayat-ayat suci al-Quran al-Karim dan hiasan-hiasan lain yang bermanfaat yang diredhai oleh Allah S.W.T. akan mendapat berkat dan rahmat daripada Allah S.W.T.
8. Berkomunikasi Secara Baik
Hubungan antara individu dalam keluarga adalah penting untuk menjamin keharmonian di dalam rumahtangga. Aspek hubungan antara individu atau komunikasi ini amat dititik beratkan oleh Islam. Firman Allah S.W.T. dalam surah Ali Imran ayat 122:
Maksudnya: “Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia..."
Di dalam ayat di atas jelas menunjukkan unsur perhubungan amatlah penting untuk menjamin manusia mencapai kebahagiaan. Ketika seimbang aspek ini akan membawa kepincangan.
Secara mudah komunikasi dapatlah difahamkan sebagai satu proses interaksi antara dua orang atau lebih. Hasilnya manusia akan memperolehi persefahaman, kesenangan, perubahan sikap, perhubungan yang baik dan tindakan yang harmoni.
Untuk mencapai tahap kesempurnaan di dalam sesebuah keluarga, setiap ahli keluarga hendaklah memahami diri dan peranan masing-masing. Peranan seorang bapa berbeza dengan peranan seorang anak. Bapa mempunyai tugas untuk memastikan keperluan fizikal dan spiritual keluarganya dipenuhi. Dalam konteks ini, setiap individu hendaklah mengetahui kelebihan dan kelemahan diri masing-masing. Saiyidina Umar r.a. pernah berkata:
“Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab. Kesedaran dan penerimaan seseorang tentang sifat dirinya menjadikan ia dapat melaksanakan fungsi perhubungan dengan lebih sempurna.”
Seorang bapa bertanggungjawab menjaga kesejahteraan ahlinya. Menurut sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Amr, Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya: Daripada ibnu amr r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab kepada jagaannya.”(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dengan menerima hakikat ini menjadikan bapa berkenaan berusaha untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut secara ikhlas. Implikasinya beliau akan menjalin hubungan dengan orang lain lebih bermakna. Berikutan dari itu persoalan apakah kesan perlakuan kita terhadap orang lain juga penting. Apakah akan berlaku kepada sesebuah keluarga jikalau seorang bapa tidak melaksanakan tugas tersebut. Begitulah juga dengan peranan ibu dan anak. Ia harus di laksanakan dengan berkesan kerana dengan terlaksana peranan dan tanggungjawab komunikasi yang baik, ia akan mengelakkan sesebuah keluarga daripada konflik.
Bagi mengekal dan meningkatkan perhubungan di dalam keluarga, aspek kemahiran komunikasi adalah penting. Kebanyakan orang tidak begitu peka dengan keperluan ini. Malah agak malang terdapat golongan yang merendahkan unsur komunikasi ini. Mungkin sikap ini ada hubungan dengan yang kurang tepat berkenaan hadith Rasulullah s.a.w.
Maksudnya: “Daripada Amirul Mukminin Abi hafs Umar bin Al-Khattab katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Setiap perkara itu adalah berdasarkan niat.”(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Daripada fahaman hadith di atas apa yang penting ialah niat. Jikalau niat seseorang mahu menyakiti seseorang sudah cukup baginya tidak menegur sapa atau tersenyum kepada seseorang. Maka terjadilah di dalam sesebuah keluarga kurang bertegur sapa dan gurau senda. Seorang bapa seharusnya pandai mengambil hati isteri dan anak-anak serta memilih cara yang baik untuk membuat teguran. Begitu juga dengan anak sepatutnya mempunyai cara yang paling baik untuk berkomunikasi dengan ibu dan bapa mereka.
Untuk mencapai keharmonian di dalam perhubungan keluarga adalah satu perkara yang agak sukar. Begitu juga usaha untuk mengekalkan tahap perhubungan yang bermakna antara ahli keluarga. Kadang-kadang keharmonian perhubungan dapat dinikmati hanya untuk suatu tempoh masa sahaja, selepas itu perhubungan menjadi masalah yang serius kepada ahli keluarga. Dalam hubungan ini motivasi adalah perlu. Motivasi ialah suatu daya untuk meningkatkan pencapaian di dalam sesuatu aspek. Jikalau di dalam soal perhubungan kekeluargaan apakah jambatan yang menjadikan ahli keluarga berupaya mengekalkan keharmonian. Inilah soalan yang perlu dicari jawapannya oleh setiap ahli keluarga. Suatu perkara yang tidak kurang penting di dalam rumah ialah kebolehan ahli-ahli keluarga berkenaan menyelesaikan konflik di antara ahli-ahli. Kadang kala berlaku seorang bapa tidak mengambil berat masalah yang dihadapi oleh anak-anak. Ini menjadikan anak-anak beranggapan bapanya tidak mengambil berat tentang diri mereka. Sikap bapa yang sedemikian menimbulkan perasaan tidak senang hati di kalangan ahli rumah. Anak akan menjauhkan diri dari keluarga. Di dalam hal tertentu bapa akan bertindak terhadap kesalahan anak-anak. Jikalau ini berlaku konflik akan timbul dan berkembang dalam keluarga berkenaan.
Dalam keadaan demikian bapa sebagai ketua keluarga hendaklah mengambil inisiatif mendekati anak dan cuba memahami masalah yang dihadapi oleh mereka. Pendekatan yang harus digunakan ialah pendekatan ‘hikmah’ iaitu pendekatan yang berasaskan keadaan yang diharuskan oleh syarak. Di dalam kebanyakan hal bolehlah dikatakan pendekatan tanpa paksaan dan kekerasan, tetapi ini tidak bererti kedua pendekatan ini bukan dari method hikmah.
9. Mewujudkan Pergaulan Suami isteri Yang Baik
Kasih sayang dan toleransi dalam keluarga adalah penting. Kedua-dua elemen ini perlu diwujud dan disuburkan dalam sesebuah keluarga bagi melahirkan kedamaian, kesejahteraan dan kebahagiaan.
Pembentukan keluarga bermula dengan ikatan perkahwinan antara suami dan isteri. Suami dan isteri perlulah meletakkan aspek kasih sayang dan belas kasihan, sebagai asas dalam kehidupan berumahtangga. Tanpa kasih sayang dan belas kasihan, sesuatu ikatan perkahwinan itu tidak menuju ke istana bahagia seperti yang diharapkan, malah ia akan mengubah haluan kepada kehancuran. Firman Allah di dalam al-Quran, surah ar-Rum ayat 21, iaitu:
Maksudnya: “Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-NYA dan rahmat-NYA bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”
Kasih sayang dan belas kasihan atau “mawaddah wa rahmah” seperti yang disebutkan di dalam ayat di atas memberi maksud bahawa perhubungan ibu bapa sebagai suami isteri hendaklah berdasarkan kepada lunas-lunas keredhaan Allah S.W.T., sentiasa kasih mengasihi, bertolak ansur, memperbanyakkan sabar, tabah di dalam menghadapi gelora rumahtangga dan menjadikan sifat suka bermaaf-maafan sebagai amalan yang berterusan. Sehubungan ini juga Allah telah memberikan panduan sepertimana yang termaktub dalam al-Quran surah an-Nisa’ ayat 19:
Maksudnya: “... Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian, jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah lakunya, janganlah pula kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedangkan Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).”
Pergaulan yang baik atau “mu’asyarah bil-ma’ruf” seperti yang disebutkan di dalam ayat di atas bererti pergaulan dan hidup bersama secara baik dan diredhai Allah, jauh daripada kemungkaran, kemaksiatan, penganiayaan, kezaliman dan seumpamanya.
10. Mewujudkan Hubungan Baik Ibu Bapa Dengan Anak
Apabila perhubungan antara ibu dan bapa dapat di bentuk dalam keadaan “ma’ruf” (baik) maka benih kasih sayang pasti akan bertunas dan bercambah ke dalam ahli keluarganya. Anak-anak yang melihat canaian kasih sayang antara ibu dan bapa mereka akan turut sama mengamali dan menikmati kemanisan serta kelazatan suasana itu. Justeru itu menjadikan ibu bapa mereka sebagai model dalam jiwa dan kehidupan mereka sendiri.
Kasih sayang dan belas kasihan ibu bapa terhadap anak-anak sebenarnya bermula dalam kandungan lagi. Bagi ibu-ibu yang sedang mengandung, mereka digalakkan memakan makanan yang baik dan berzat, mengamalkan tingkah laku yang mulia, selalu membaca al-Quran, sentiasa berdoa kepada Allah memohon kebaikan kepada anaknya dan lain-lain amalan kebaikan seperti yang diperintahkan oleh Islam. Begitu juga bagi bapa, mereka hendaklah sentiasa mendampingi isteri mereka, sama-sama berkongsi kesukaran dan penderitaan yang dialami oleh isteri, tidak berlaku kasar dan benci kepada isteri dan sentiasa berdoa kepada Allah memohon keselamatan kepada isteri dan bayi yang bakal dilahirkan. Begitulah seterusnya apabila anak itu lahir ke dunia, kasih sayang perlu diberikan supaya pembentukan syakhsiah mereka menjurus ke arah manusia yang sempurna, berakhlak mulia seterusnya dapat mengharungi kehidupan ini dengan sebaik-baiknya.
Tidak dinafikan bahawa Rasulullah s.a.w. adalah contoh yang paling ideal dan tepat untuk diikuti. Ibu bapa seharusnya menyedari hakikat ini dan berazam mengamalkan segala kebaikan untuk keluarga mereka. Dalam sebuah hadith Rasulullah s.a.w. seperti yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi daripada Aisyah r.a., sabda baginda:
Maksudnya: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang baik kepada ahli keluarganya dan akulah sebaik-baik di antara kamu kepada ahli keluargaku.”(Riwayat at-Tirmizi)
Dalam sebuah hadith lain yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi dan Al-Hakim daripada Aisyah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya: "Sesungguhnya antara sifat-sifat yang boleh menjadikan seseorang itu sempurna imannya ialah yang berakhlak mulia dan berlemah lembut dengan ahli keluarganya."(Riwayat at-Tirmizi dan al-Hakim)
11. Mewujudkan Hubungan Baik Anak Dengan Ibu Bapa
Anak wajib berbuat baik terhadap ibu bapanya. Sekiranya tidak, ia telah melakukan satu dosa. Di dalam al-Quran tidak terdapat perintah khusus agar seseorang bapa mengasihi anaknya, tetapi sebaliknya yang lebih banyak ialah perintah kepada anak supaya mengasihi ibu bapa. Sebab yang demikian ialah, walaupun tidak diperintah untuk mengasihi anak, secara otomatis ibu bapa tentu mengasihi anaknya. Seorang bapa, apatah lagi ibu, amat sayang kepada anaknya sehingga ia sanggup berkorban apa saja demi keselamatan dan kesejahteraan anaknya. Ia sanggup bersusah payah bekerja siang dan malam, menggerakkan segala usaha dan tenaga, dimana semuanya itu adalah untuk kebahagiaan anaknya. Maka wajarlah anak berbuat baik terhadap ibu bapa.
Mungkin seorang anak akan bertanya, bagaimana ia harus berbuat baik terhadap ibu bapanya. Dalam hal ini Imam Ghazali telah menggariskan dua belas panduan, iaitu:
Mendengar kata mereka.
Berdiri apabila mereka berdiri kerana menghormati.
Taat perintah mereka selagi mereka tidak menyuruh membuat perkara-perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T.
Tidak melintas di hadapan mereka, tetapi hendaklah berjalan di sisi atau di belakang kecuali atas perintah mereka untuk sesuatu maksud.
Tidak meninggikan suara melebihi suara mereka.
Menjawab panggilan mereka dengan suara yang lembut.
Sentiasa memelihara dan merawat apabila mereka sakit. Jangan sampai melakukan sesuatu yang melanggar keredhaan mereka baik dalam sikap, perkataan ataupun perbuatan.
Merendah diri dengan sopan dan lemah lembut serta sentiasa berusaha meringankan beban mereka.
Tidak melakukan sesuatu kebaikan kepada mereka atas dasar membalas jasa melainkan atas dasar kewajipan demi keredhaan mereka dan keredhaan Allah S.W.T.
Tidak memandang mereka dengan menjeling, mengerling, marah atau masam muka.
Tidak bermuram hati apabila menghadapi wajah mereka.
Tidak keluar rumah sama ada jauh atau dekat kecuali dengan izin mereka. 12. Memupuk Kasih Sayang Dan Toleransi Dalam Keluarga
Banyak cara boleh dilakukan bagi mewujudkan perasaan kasih sayang dan semangat toleransi di dalam keluarga. Cara utama ialah melalui pengetahuan dan didikan agama yang cukup. Selain melalui pendidikan secara formal yang diterima di sekolah-sekolah, setiap ahli keluarga perlu dibentuk dan ditanamkan dengan perasaan kasih sayang dan semangat toleransi melalui tunjuk ajar, contoh teladan, nasihat dan kaunseling serta kawalan yang berkesan. Mereka bukan sahaja disuruh supaya sayang menyayangi sesama ahli keluarga, malah juga kepada binatang peliharaan dan harta benda di rumah. Mereka hendaklah selalu diberi ingat bahawa Allah sangat suka kepada orang-orang yang mempunyai perasaan kasih sayang, suka bekerjasama dan tolong-menolong sesama sendiri.
Sebaliknya Allah benci kepada orang-orang yang sering bergaduh, bermusuh-musuhan, tidak mahu bekerjasama dan benci membenci sesama sendiri. Sekiranya berlaku perkara-perkara yang boleh merosakkan hubungan kasih sayang di dalam sesebuah keluarga, setiap ahlinya terutamanya ibu bapa hendaklah segera mencari jalan mengatasinya.
Jelaslah bahawa kasih sayang dan semangat toleransi adalah sangat penting dalam sesebuah keluarga. Sekiranya tiap-tiap rumpun keluarga itu tidak mewujudkan satu ikatan yang baik dan harmoni, maka kedudukan sesebuah masyarakat itu akan pincang, justeru bangsa dan negara menjadi lemah. Apabila situasi ini berlaku kemajuan tidak akan dapat dicapai dan masyarakat penyayang tidak dapat diwujudkan. Begitulah pentingnya peranan yang perlu dimainkan oleh setiap ahli keluarga bagi mencapai hasrat yang dicita-citakan.
KESIMPULAN
Rumahku Syurgaku adalah satu wawasan Islam yang berteraskan ajaran yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Rumahtangga sebagai satu komponen utama dalam pembentukan sesebuah masyarakat mesti disempurnakan melalui piawai yang sesuai dengan ajaran Islam dan keperluan rohani dan jasmani manusia. Untuk mencapai taraf syurga bagi sesebuah rumahtangga, maka semua rukun atau piawai yang disebutkan perlulah dipenuhi dengan sebaik mungkin. Ia tidak memerlukan perancangan yang rapi dan sikap positif untuk melaksanakannya. Setiap yang gagal memenuhi rukun-rukun dan piawai-piawai tersebut, maka rumahtangganya belumlah dapat mencapai tahap kebahagiaan sebagaimana yang dituntut oleh Islam.

Wednesday, April 18, 2007

Guru

Memperkasa Guru Sebenar Guru
Dalam
Membangun Diri Menunaikan Amanah
Guru Mengajar Murid Belajar

"Tidak akan kamu berperasaan gundah walau sekali, jika kau tahu apa yang dicari."
~ Umar Al-Khattab


Objektif Sesi Hari Ini

Mengenal dan menilai diri dari aspek profesionalisme dan profesionaliti
Antara keunggulan dan realiti wujud ruang (jihad) membangunkan potensi diri
Antara iman, amal dan bual, mana satu menjadi bekal?
Jadilah Guru Sebenar Guru: Ke Sekolah Tidak Jemu Mengajar Tidak Lesu
Memenuhi tuntutan Guru Mengajar Murid belajar

"Profesionalisme" (bagi Eric Hoyle,1980) adalah sikap dan tindakan yang menyentuh
aspek-aspek yang berkaitan dengan pekerjaan seperti hal-hal tentang syarat-syarat
kerja, soal gaji dan upah, jadual tugas dan hal-hal lain yang berkaitan dengannya.
Semuanya adalah hal-hal yang selalu dihubungkaitkan dengan perjuangan kesatuan
sekerja.

"Profesionaliti" pula ialah sikap dan tingkah-laku yang ditunjukkan oleh seseorang
terhadap "profesionnya" serta taraf pengetahuan dan ketrampilan dalam bidang
pekerjaan itu.


Seseorang guru yang sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan kualiti pengajarannya
dan sentiasa mementingkan kejayaan dan kebajikan murid-muridnya dikatakan
mempunyai "profesionaliti" yang tinggi. Dengan kata lain, guru itu melihat perguruan
dan tugasnya bukan semata-mata sebagai satu "pekerjaaan" tetapi sebagai satu "profesion"
(Omar Hashim,1993).

Sifat dan Ciri-Ciri Seorang Guru Yang Perkasa

Terhadap Murid:

punyai empati dan komitmen dalam menghargai maruah orang lain (iaitu anak didik, ibu bapa dan rakan sejawat) dalam mengejar hasil dari segi afektif dan juga kognitif
hubungkan 'mata plajaran' dengan kehidupan murid-murid
kenal, hormati dan percayai murid-murid
mengajar murid-murid bagaimana hendak belajar, menganalisa dan berfikir secara kritis
menjana idea-idea baru dan menarik bagi murid-murid berfikir mengenainya
menggalakkan murid-muird bertanyakan soalan mengenai pelajaran
hadir dalam lain-lain aktiviti di mana murid-murid terlibat seperti sukan, persembahan musikal dn kebudayaan.

Terhadap Mengajar:

melakukan refleksi dan kritik-kendiri, mercu tanda profesionalisme seorang guru
berfikir secara sistematik mengenai amalannya dan belajar daripada pengalaman
adil dalam menilai dan menggred
fleksibel dalam pendekatan-pendekatan pengajaran dan pembelajaran
bersemangat dalam mengajar , murid-murid dalam sesuatu mata pelajaran
seorang komunikator yang cemerlang; mampu menjadikan idea-idea yang kompleks mudah difahami dengan itu murid-murid dapat memahami dan menghargainya
sering mengukur kemajuan dan memberikan maklumbalas kepada murid-murid
merancang pengajaran terlebih dahulu, beri masa yang cukup bagi setiap tajuk, dan menyepadukan mata pelajaran
secara berterusan mengukur pendekatan, syarahan dan ujian-ujian bagi memastikan kurikulum yang sentiasa 'baru dan segar' serta relevan
menyertai jawatankuasa-jawatankuasa bagi menambahbaik sekolah, jabatan atau dirinya sendiri.

Terhadap Disiplin:

seorang yang pakar dalam bidang yang dia ajar
seorang yang 'laparkan' ilmu; sentiasa up to date dalam bidangnya dengan membaca; menghadiri konferens, konvensyen, bengkel dan seminar; dan mengikuti kursus-kursus dalam perkhidmatan
juga seorang yang suka 'belajar' perkara-perkara di luar bidangnya
aktif dalam penubuhan profesional dan menggalakkan rakan sejawat menyertainya
menjadi ahli kepada komuniti yang belajar
bina dan mengekalkan perhubungan profesional
bekerja dalam organisasi sekolah yang luas

Secara Peribadinya:

tunjukkan contoh dan teladan yang utuh di dalam atau di luar bilik darjah dan mengajar kebertanggungjawaban murid-murid serta standard yang tinggi
berfikiran terbuka, rendah diri, dan bersikap optimistik.


Antara "Keunggulan" dengan "Realiti" wujud ruang lakukan "Perjuangan"

Apa yang "unggul" itu?
Boleh diukur dan dinilai menerusi aspek i) Diri Peribadi 2) Organisasi 3) Iklim dan
Budaya Kerja.
Diri peribadi: bersikap positif dan memiliki ketrampilan pengetahuan dan kemahiran yang tidak dipertikai; berfikiran terbuka (tidak sempit, jumud dan beku); pengurusan masa dan diri yang tinggi (selalu on time, datang awal, masuk kelas cepat, mengajar dengan penuh dedikasi dan penuh sifat dan ciri-ciri profesionalisme dan profesionaliti yang tinggi); suka bekerjasama dengan rakan sejawat (tidak lokek ilmu); hasil kerja yang berkualiti (dari segi isi kandungan, format, gaya dan persembahan) memenuhi sifat-sifat seorang yang inovatif, kreatif dan produktif; sabar dalam melayani karenah anak didik dan juga rakan sejawatan; berpegang kepada prinsip yang jelas, betul, benar, dan utuh di dalam semua keadaan dan situasi.
Organisasi: dapat dilihat sebagai sebuah organisasi yang sistematik, teratur dan tertib; jelas susun atur heirarki tugas dan kuasa; wujud kolaborasi, kolegialiti dan partisipasi; masing-massing individu faham dan menyumbang kepada kegemilangan organisasi.
Iklim dan Budaya Kerja: diri peribadi yang jadi ahli organisasi akan tentukan senario, suasana atau pun iklim seluruh premis yang akhirnya wujud sebagai satu budaya kerja berkualiti dan cemerlang; persekitaran yang bersih, ceria dan selamat; suasana yang kondusif kepada pembelajaran bermakna; anak didik yang aktif dan responsif tetapi bukan bising tak tentu hala.

Tetapi "realitinya" bagaimana?

1. Aspek peribadi: bersikap yang tidak sesuai dan tidak cerminkan seorang (atau guru-
guru) yang sejati dengan tingkah-laku dan gelagat yang merendahkan martabat diri dan
organisasi; datang lewat, lambat masuk kelas mengajar, atau kalau masuk tidak
mengajar, atau masuk sekejap kemudian tinggalkan murid buat kerja sendiri, suka
buang masa (berborak dan bersembang semasa bertugas), buat sibuk pada masa dia
tidak sibuk; semuanya ini jadi amalan dan tak rasa malu apatah lagi rasa berdosa.
Pengetahuan dan kemahiran yang tidak berkembang; walau dah lama menjadi guru
tetapi kerja masih comot, kabur, salah sana salah sini, tak faham format dan
kandungan, sangat lewat siapkan laporan data dan maklumat (termasuk analisis dan
diagnosis) dan masih tak pandai buat minit mesyuarat atau belum faham-faham bezakan
antara laporan dan minit; dokumen murid sering tidak kemaskini; buku-buku latihan
murid sangat lama tidak diperiksa; dan paling buruk sikap bodoh sombong, besar diri
dan sangka diri paling betul hingga kerja wajib sebagai seorang guru ditinggalkan dan
melebihkan kerja-kerja lain yang bukan wajib (direct selling dan seumpamanya);
bagaimana kita hendak jadi Guru Sebenar Guru?


2. Aspek Organisasi pula kenyataannya datangnya daripada sikap dan perlakuan para
ahlinya; sering wujud senario nafsu-nafsi (tidak landaskan prinsip dan peraturan)
akhirnya terbentuk organisasi yang kalut, caca-marba, ikut suka; hingga berlarutan
bertahun-tahun maka wujudlah beberapa status organisasi seperti: i) Organisasi
Bermasalah, ii) Organisasi Terbiar, iii) Organisasi Berpenyakit, iv) Organisasi
Bebas-Cukai dan v) Organisasi Mentaliti "Mengajar sebagai Kerja Bodoh."

3. Aspek Iklim dan Budaya Kerja: Relitinya iklim yang gambarkan "budaya organisasi" yang
sentiasa di bawah standard dan jangkaan semua pelanggan dalaman dan luaran atau
tidak memenuhi aspirasi masyarakat dan negara. Maka terdengarlah segala macam
rungutan, komen dan kritikan daripada rakyat jelata di desa sampailah kepada Perdana
Menteri yang memerintah negara; antarnya seperti "Kita tidak serius sebagai Guru Besar...";
"..sekolah kebangsaan tidak menarik dan kurang berdisiplin.'; "3M tidak berkesan di sekolah
kebangsaan berbanding SJK Cina."; "Sebanyak 1,919 buah sekolah dikenalpasti sebagai sekolah
prestasi rendah (SPR) kerana pencapaian bawah 30% kelulusan UPSR (1999)"; " Pelajar-
pelajar Melayu tertinggal dalam pelajaran seawal di bangku sekolah rendah lagi...."; adalah fakta
dan faktor yang mesti kita terima dan akui bagi membanteras dan memperbaikinya
melalui ruang yang luas di mana kita bebas membuat pilihan...yakni pilihan perjuangan
menghapuskan kealpaan, kelederan, kelewatan, ketidakakuran, kelemahan dan
kehinaan akibat dari kebejatan profesioanlisme.

Kita sebagai Apa yang Kita Fikirkan

Apa yang kita percayai dan yakini itulah yang kita buat dan lakukan (amalan hidup); dan
apa yang kita buat dan apa yang kita tidak buat akan jadi "warisan" (legacy) setelah kita
berpindah sekolah. Apabila kita secara tekal berfikir, bertindak (beramal) dan
mengutamakan motif diri kita inilah kemudiannya yang digelar sebagai sikap. Oleh itu
kaitan antara pemikiran, perbuatan atau tingkah-laku dan kepercayaan (beliefs) amatlah
saling berkait rapat dalam membezakan seseorang personaliti dengan personaliti yang
lain.

Jika kita fikirkan mengajar bersungguh-sungguh tidak penting (asal ajar sudah) maka
kerja mengajar kita jadilah sebagaimana seadanya sahaja, dan di mata anak didik kita
dilabel sebagai "guru malas". Begitu juga jika kita fikir datang awal atau masuk kelas
segera sebagai tidak penting maka jadilah kita orang yang sentiasa 'lengahkan waktu' dan
seolah-olah tidak berminat dalam pekerjaan kita sendiri.

Atau apa yang kita asyik lebihkan masa berborak dan bersembang (termasuk adu domba,
fitnah, hasut-menghasut, apatah lagi berpolitik) daripada mengajar anak didik sebaik-
baiknya, maka jadilah kita orang-orang yang utamakan kerja yang tidak berkenaan dan
mengabaikan kerja utama dan kerja yang wajib ke atas kita. Pendeknya inilah yang
dikatakan segala yang kita fikir, yakni menjadi 'kepercayaan kita' maka kita pasti
melakukan segala 'kebejatan' ini yakni apa yang kita amalkan setiap hari sehingga
menepati Hukum Ganjaran yakni "Apa Yang Disemai Itulah Yang Dituai"; dan inilah
menjadi "warisaan" kita yang kita tinggalkan nanti.

Jadilah Guru Sebenar Guru: Ke Sekolah Tidak Jemu Mengajar Tidak Lesu

Setiap sesuatu di dunia ini mempunyai dua wajah; positif atau negatif; hitam atau putih;
buruk atau baik; cemerlang atau kecundang; begitu juga sikap dan perlakuan kita
sebagai guru-guru yang bukan sahaja profesional sifatnya malah menunjukkan ciri-ciri
profesionaliti yang tinggi sepanjang masa. Antara ciri-ciri membezakan antara guru yang
profesional dengan guru yang tidak; rujuk senarai semak berikut, dan marilah kita
menukar sikap, persepsi dan posisi kita agar menjadi lebih perkasa dan berwibawa
dalam melaksanakan tugas mulia sebagai seorang guru.

Guru yang Profesional Guru yang tidak Profesional

Mula kerja awal pagi Mula kerja setelah loceng berbunyi

Sedia bergerak awal hari Sudah pun letih di awal pagi

Mengurus dengan merancang Mengurus dengan krisis

Ada perancangan & matlamat Ada berbagai alasan

Berpakaian secara 'profesional' Berpakaian selekeh

Guna waktu luang sebagai waktu Guna waktu luang mengumpat dan mengeji
'kerja'

Suka ikuti latihan kerana berikan perkem- Komplen tentang latihan dan pelik menga-
bangan profesional pa ianya perlu

Dalam mesyuarat mereka duduk di mana Dalam mesyuarat mereka duduk di tepi
mereka boleh belajar pintu

Cari perkara-perkara untuk dipuji Cari perkara-perkara untuk dikomplen

Berusaha cari punca sesuatu tidak berjalan Salahkan orang lain bila sesuatu tidak ber-
jalan

Sedia buat keputusan dan selesai masalah Bertanya "Apa patut saya buat?"

Lihat pentadbir sebagai rakan kongsi Lihat pentadbir sebagai tempat
dalam pendidikan melepaskan geram

Melanggan dan membaca jurnal profesional Fikir jurnal profesional sebagai membazir-
kan wang sahaja

Mendapat penghormatan setiap hari Merungut kerana tidak dapat penghor-
matan

Buat yang terbaik Buat apa orang lain buat

Kembangsuburkan kerjaya mereka Bimbang tentang kerja mereka

Rasa dan bertindak 'empowered' Rasa dan bertindak seperti mangsa

Sedia untuk belajar dan dapatkan bantuan Tidak sedia belajar atau terima bantuan

Belanja wang untuk perkembangan profesio- Enggan belanja untuk perkembangan
nal atau untuk bilik darjah profesional atau untuk bilik darjah

Percaya anak didik boleh belajar, dan lihat Percaya anak didik degil, tidak
tugas mereka membantu proses ini bertanggungjawab, dan malas

Melihat pekerjaan 'mengajar' sebagai satu Melihat kerja mengajar sebagai satu kerja
profesion paling mulia. dengan gaji lumayan sahaja.


Memenuhi Tuntutan "Guru Mengajar Murid Belajar"

Objektif kita akhirnya ialah memenuhi tuntutan konsep "guru mengajar murid belajar"
dapat direalisasikan pada tahap paling optimum dan dapat pula kita buktikan menerusi
kerja-buat kita setiap hari dan waktu. Bagi mencapai tahap ini semua kita mestilah
membetulkan iman (kepercayaan), bual (percakapan), dan amal (segala perlakuan) kita
sentiasa selaras antara ketiga-tiga aspek tersebut.

Memenuhi tuntutan "Guru Mengajar Murid Belajar" pula perlukan semua kita menjadi
guru-guru yang sebenar guru "Ke Sekolah Tidak Jemu Mengajar Tidak Lesu"; yang
membawa erti seseorang guru itu penuh iltizam, dedikasi, komited dan
bertanggungjawab tidak akan mengkhianati tugasnya dan murid-muirdnya. Prinsipnya
ialah guru-guru mesti faham bahawa tugas 'mengajar dan mendidik' pekerjaan yang sangat
mulia. Janganlah rosakkan 'kemuliaan tugas' ini dengan perangai dan gelagat yang tersasar
jauh daripada etika dan adab seorang guru yang mursyid. Guru-guru mestilah
menganggap pergi ke sekolah sebagai pergi ke medan jihad dan kerja mengajar (tanpa
muslihat dan tipu helah) sebagai suatu ibadah. Guru-guru begini tidak akan cepat
menyalahkan keadaan dan tempat sebelum menyalahkan diri terlebih dahulu di samping
berusaha meningkatkan ketrampilan dan kewibawaan diri.

Guru Sebenar Guru tidak akan melakukan sesuatu yang akan merosakkan organisasi
seperti: selalu ponteng; banyak beri alasan dan helah; sering mengelakkan diri daripada
menerima tugas dan tanggungjawab; menganggap sekolah hanya tempat kerja 'sementara'
atau selalu beri alasan 'tidak cukup masa'. Guru sebenar guru tidak menunjukkan ciri-ciri
'orang malas' ketika di dalam kelas tetapi sebaliknya mengajar dengan penuh ceria dan
dengan penuh semangat serta bersungguh-sungguh, memeriksa buku-buku tanpa
bertangguh.

Penutup

Fahamlah kita bahawa kecemerlangan organisasi dan institusi amat bergantung kepada
mutu jatidiri individu yang berada di dalamnya sama ada ia seorang guru, pembantu
tadbir, pembantu am rendah atau pun pekerja rendah awam; yang semuanya mempunyai
'amanah tugas' dan tanggungjawab yang sudah jelas dan terperinci yang tidak boleh kita
dakwa bahawa kita tidak tahu mengenainya.

Marilah kita menginsafinya dengan setulus ikhlas bahawa sebarang 'defisit
pembelajaran' misalnya adalah kerana kita selaku guru-guru yang tidak mengutamakan
masa sebaik mungkin semasa mengajar selama ini. Bagaimana pula kita akan dapat
memenuhi tuntutan bekerja 8 jam sehari seperti yang sedang diura-urakan oleh pihak
Kementerian Pendidikan jika waktu bekerjas 5½ jam sekarang ini pun kita sudah "lesu
dan layu?"ٱ



Rujukan

Omar Mohd Hashim (1993). Pendidikan: Persoalan, Penyelesaian dan Harapan. Dewan
Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.


William E. Schneider, Ph.D., (1998). Why Good Managements Ideas Fail
- Understanding Your Corporate Culture. Paradigm Shift International USA.


___________________(2001); Penyataan Dasar Standard Tinggi Kualiti Pendidikan.
Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur.

_______________________________________________________________________
Ceramah yang disampaikan di dalam Program Perkembangan Staf Sekolah Kebangsaan
Telok Sentang, Temerloh pada 23 Mac 2002

Guru adalah Guru

MEMPERKASA GURU SEBENAR GURU
KE SEKOLAH TIDAK JEMU
MENGAJAR TIDAK LESU


"The mediocre teacher tells. the good teacher explains.
The superior teacher demonstrate. the great teacher inspires."
~ William A. Ward

Pendahuluan
Mempersiapkan generasi pelajar hari ini bagi menghadapi dan menangani cabaran-cabaran baru terutama tuntutan-tuntutan sebagai "knowledge worker" dalam era revolusi informasi abad ke-21 terletak di tangan dan dibahu seluruh kaum guru dan pendidik di pelbagai peringkat lebih-lebih lagi peringkat persekolahan rendah, amat memerlukan kesedaran yang tinggi bagi memperkembangkan dan mempertingkatkan setiap aspek profesionalisme keguruan ke suatu tahap yang tidak mungkin lagi dipertikai dan diperlekehkan oleh masyarakat dan negara,.
Usaha terbaru Kementerian Pendidikan Malaysia dengan memperkenalkan Standard Tinggi Kualiti Pendidikan mulai tahun 2001 adalah manifestasi dan bukti kepada komitmen bagi menggerakkan semua pihak untuk mencapai kecemerlangan pendidikan negara sebagai pusat kecemerlangan ilmu, sekali gus memartabatkan pendidikan yang bertaraf dunia.
Oleh kerana sifat sesuatu yang baru itu sering dipandang serong dan diragui, maka begitu juga persepsi sebahagian golongan pendidikan dan pentadbir pendidikan sehinggakan wujud semacam 'desakan' bagi mempermudahkan dan pengubahsuaian kepada instrumen Penarafan Kendiri Sekolah Berasaskan Standard Tinggi Kualiti Pendidikan ini, adalah suatu sikap yang kurang wajar dalam konteks kita hendak memartabatkan pendidikan dan profesion keguruan.
Bagaimana Fenomena Pendidikan dan Pengurusan Sekolah masa kini?
Menurut Penyataan Dasar Standard Tinggi Kualiti Pendidikan Jemaah Nazir Sekolah (2001) menyebut bahawa; "Orang ramai semakin kerap mempersoalkan kualiti pendidikan di sekolah, seolah-olah tidak lagi menaruh keyakinan kepada kewuibawaan sekolah dalam hal ehwal mendidik, terutama apabila mendapati kelakuan murid lepasan sekolah tidak seperti yang diharapkan oleh masyarakat dan negara. Kecemerlangan pada sijil peperiksaan mereka secara realitinya tidak memperlihatkan kematangan berfikir, kepetahan berkomunikasi, ketokohan sebagai pemimpin, kemurnian tingkah laku, keupayaan mencipta dan menyumbang kepada pemajuan negara-bangsa dan global," (hlm.24).
Fenomena lain ialah wujudnya keadaan kepakaran dan profesionalisme guru tidak kemas kini dan relevan ke arah pembangunan diri insan yang menyeluruh dan seimbang seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Kajian pihak Nazir Sekolah juga mendapati kelesuan proses pendidikan ini ada kaitan secara sebab-akibat dengan amalan pentadbiran organisasi persekolahan yang lebih menguruskan hal-hal mekanikal seperti pengendalian perjawatan, gaji dan bangunan.
Oleh itu kesempurnaan yang menonjol di sekolah bukan pada pelakuan manusianya tetapi pada hal-hal kebendaan, maka terhasillah keluaran sekolah yang berkembang di tahap persepsi atau tanggapan fenomena luaran sahaja sehingga kurang upaya menyelesaikan masalah dan membuat keputusan rasional dan membangun.
Fenomena "Low Performing Schools"?
Salah satu kayu ukur bagi menentukan sesebuah sekolah itu baik, maju, meningkat dan membangun hingga ke tahap cemerlang (atau sebaliknya) adalah menerusi pencapaian peperiksaan. Berdasarkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolh Rendah (UPSR) tahun 1999, sejumlah 1,919 buah sekolah rendah telah dikenalpasti sebagai "sekolah prestasi rendah" yakni sekolah-sekolah yang pencapaian peratus kelulusannya di bawah 30%
Dalam hubungan penarafan sekolah di bawah Standard Tinggi Kualiti Pendidikan ini pula pihak Jemaah Nazir Sekolah telah mendapati bahawa penilaian keseluruhan sekolah-sekolah setakat ini berada pada tahap tiga iaitu lemah dalam indeks komposit tahap sekolah dengan skor antara 30 hingga 49 peratus.
Kemudian kita didedahkan pula dengn dapatan hasil kajian sepasukan penyelidik Universiti Malaya terhadap "keberkesnan 3M" di antara sekolah-sekolah kebangsaan dengan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina khasnya, yang juga sekali lagi menampakkan "kelemahan dan ketidakberkesanan" yang ketara sekali berlaku di sekolah-sekolah kebangsaan kita.
Lama sebelum ini pun YAB Perdana Menteri Dato' Seri Doktor Mahathir Mohamad pernah "menyelar" sikap "tidak serius" yang terdapat di kalangan segelintir Guru Besar di sekolah-sekolah kebangsaan dan senario negatif dan "kurang menarik" yang wujud dan berlaku di sekolah-sekolah ini. Apakah tidak ada kaitannya apabila kita memperkatakan prestasi dan kualiti pendidikan ini dengan masalah dan dilema yang dihadapi seperti isu-isu kegagalan memenuhi kuota 55% kemasukan pelajar-pelajar Melayu ke IPTA kerana pencapaian yang rendah di dalam peperiksaan SPM dan STPM?
Rumusan kajian-kajian ini menyatakan bahawa pelajar-pelajar Melayu tertinggal dalam pelajaran seawal di bangku sekolah rendah lagi. Untuk mengatasinya kita perlu berpatah balik jauh ke belakang. Usaha membentuk pelajar-pelajar Melayu yang berdaya saing perlu bermula di peringkat sekolah kebangsaan (Isahak Haron, 2001). Nah begitu lantang sekali seruan ini dan sudah sewajarnya disambut bukan sahaja dengan semangat ingin menebus maruah malah memartabatkan pendidikan berkualiti di kalangan anak-anak Melayu. Maka inilah yang hendak dilakukan oleh pihak Kementerian Pendidikan menerusi Standard Tinggi Kualiti Pendidikan.
Ke Arah Pembaharuan Tema dan Sistem Pendidikan
Seperti yang diketahui abad ke-21 adalah era maklumat maka amatlah perlu kita dapat "melihat jauh ke depan" dalam konteks Wawasan 2020 dan perubahan-perubahan yang dibawa oleh era cyberspace, dalam usaha mewujudkan generasi pelajar yang berminda saintifik, kreatif, inovatif, mencintai ilmu, progresif, berbudaya fikir, di samping berakhlak dan beradab (Wan Liz Ozman Wan Omar, 2000).
Pembaharuan perlukan perubahan. Perubahan yang sangat utama dan penting ialah perubahan paradigma, sikap dan perlakuan agar setiap orang mampu berfungsi dan bersaing secara cekap dan berketrampilan. Satu daripadanya ialah konsep 'belajar sepanjang hayat' perlu menjadi amal budaya setiap pelajar menguasai 'belajar cara belajar' (UNESCO, 1995) dari segi:
Belajar untuk mengetahui (Learning to Know)
Belajar untk membuat (Learning to Do)
Belajar untuk menjadi insan sempurna (Learning to Be)
Belajar untuk hidup bersama (Learning to Live Together)
Noor Azman Ibrahim (1998) menyenaraikan enam tema penting sistem pendidikan abad ke -21 dengan pembelajaran cara baru di mana pembelajaran tidak lagi merupakan satu proses yang dikendalikan oleh institusi pendidikan (Tapscott, 1996) Enam tema tersebut adalah:
Tema 1 : Pekerjaan dan pembelajaran makin menjadi perkara yang sama.
Tema 2 : Pembelajaran makin menjadi cabaran seumur hidup.
Tema 3 : Pembelajaran beranjak dari sekolah dan universiti formal.
Tema 4: Beberapa institusi pendidikan bekerja keras ke arah kesesuaian dengan
perubahan.
Tema 5 : Kesedaran organisasi diperlukan untuk mewujudkan organisasi pembelajaran (learning organization).
Tema 6 : Media baru boleh mengubah pendidikan dengan mewujudkan infostruktur bekerja belajar.

Kewibawaan yang Dipersoalkan

Apakah ertinya apabila Tapscott (1996) menyatakan bahawa pembelajaran tidak lagi dikendalikan oleh institusi pendidikan awam (sahaja)? Di Amerika Syarikat murid-muird yang belajar di rumah (home schooling) semakin meningkat dari tahun ke tahun; merupakan fenomena baru sejak beberapa dekad lalu sebagai manifestasi kepada 'ketidakpercayaan' ibu bapa dan orang awam terhadap mutu dan prestasi pendidikan yang dilaksanakan oleh sekolah-sekolah awam.

Patricia M. Lings (1999) melaporkan sesi persekolahan tahun 1990-1991 terdapat 250,000 hingga 350,000 orang; sesi tahun 1995-1996 pula seramai 700,000 hingga 750,0000 orang kanak-kanak yang mengikuti homeschooling ini, dan manakala bagi sesei 1997-1998 telah mencecah seramai 1,000,000 orang kanak-kanak menyertai kaedah dan pendekatan belajar di rumah ini.

Salah satu daripada rtiga sebab mengapa berkembangnya konsep belajar di rumah (homeschooling) ini menurut Erica Clery (1998), ialah wujudnya kebimbangan berlakunya 'kerosakan' mental, fizikal dan spiritual ke atas kanak-kanak yang belajar di sekolah-sekolah di bawah tadbiran dan seliaan kerajaan. Tidakkah 'bunga-bunga' kepada senario yang sama akan berlaku suatu hari nanti di negara kita sendiri, apatah lagi setelah mencapai status negara maju seperti yang diwawaskan? Tidakkah juga 'gejala-gejala kerosakan' ini sudah pun wujud dan berlaku dan saban tahun ianya semakin parah dan berdarah sehingga sistem pendidikan kita didakwa 'sudah ketinggalan zaman' oleh kesatuan perguruan kebangsaan Malaysia?

Dengan yang demikian kita selaku guru-guru perlulah menyedari, memahami, dan menghayati betapa konsep penambahbaikan yang berterusan itu perlu dilaksanakan tanpa garis penamat sebagaimana gagasan yang dibawa menerusi Standard Tinggi Kualiti Pendidikan.

Memperkasa Diri

Guru adalah nadi kepada sekolah. Profesionalismenya adalah kunci kepada peningkatan kualiti (Jemaah Nazir, 2001). Kualiti yang dimaksudkan bukan sahaja kepada kualiti proses malah yang lebih utama ialah kualiti outputnya (hasil). Perkara ini tidak mungkin dicapai jika individu, kumpulan, kelompok dan organisasi tidak cekap dan tidak berkesan. Maka itulah sumber manusianya perlu dibangunkan secara bersepadu menerusi latihan-latihan tertentu bagi memastikan setiap individu itu dapat mengembangkan potensi dan bakatnya. Pengalaman-pengalaman yang diterima menerusi program pembangunan profesional ini sama ada ianya bersifat latihan-latihan khusus atau pun pengalaman sebenar di tempat kerja sudah barang tentu membolehkan atau mengupayakan guru-guru bertindak atau berpelakuan secara berkesan untuk meningkatkan kualiti pendidikan sekolahnya.
Menjadi guru yang perkasa bukanlah bererti perkasa dari segi fizikal dan tenaga sahaja tetapi yang lebih penting ialah keperkasaan dari aspek profesionalismenya, prinsipnya, keutuhan keperibadiannya, kecekapan dan ketrampilannya, mental dan keintelektualannya, kestabilan emosi dan spiritualnya serta kebijaksanaan dan kepemimpinannya. Oleh itu menjadi seorang guru yang perkasa amat dipengaruhi oleh tahap tinggi atau rendahnya ciri-ciri dan prestasi profesionalismenya; teguh, tegas dan utuh atau rapuh, lemah dan tidak tegas pegangan hidup dan prinsipnya; luas, tinggi dasn mendalam atau sebaliknya dari segi intelektualnya yang digambarkan menerusi kesedaran-diri dan faham-kendiri yang mendasari kebijaksanaan dan hemah dalam kepimpinan. Seorang guru yang perkasa juga seorang guru yang cekap dan berkesan.
Eilane (2000) ytelah mengenalpasti beberapa ciri seseorang guru yang amat berkesan (highly effective) yang dikategorikan kepada tiga aspek iaitu:
Ciri peribadi yang menjelaskan perwatakan.
Ciri mengajar yang memberikan hasil.
Ciri intelek yang menunjukkan ilmu, sedar-diri dan faham-kendiri.
Ciri Peribadi: seorang yang 'bermatlamat' (mission-driven) dan juga seorang yang 'asyik' dalam pekerjaannya. Kedua , ianya bersikap positif dan 'real' yakni yakin dalam apa pun yang dilakukan di samping sabar menerima 'kenyataan' biar pun pahit untuk ditelan. Ketiganya ia merupakan seorang 'guru-pemimpin'; di samping mengajar ia juga membimbing dan menunjuk ajar bukan sahaja anak didik malah rakan sejawat dan siapa sahaja.
Ciri Mengajar: seorang yang memiliki dan sentiasa menerapkan aspek 'dengannya' ("with-it-ness") dalam apa jua yang dibuat atau apa jua yang murid-muridnya mesti buat. Ia juga mempunyai stail yang tersendiri, sesuai dengan semua keadaan dan persekitaran, nilai dan budaya, peraturan dan undang-undang. Ianya juga memiliki kepakaran memotivasi serta kebekesanan dalam pengajaran dan pembelajaran.
Ciri Intelektual: seorang yang suka 'membaca buku', dan mempunyai 'mental life' yang segar, berkembang dan bersifat 'berpenyugnguhan kendiri' (self-actualization) dengan minda yang sihat dan terbuka, melihat alam dan kehidupan di dalam ruang lingkup yang luas dan menyeluruh (banyak) di samping melihat, menganalisis, mensintisis dan menilai satu di dalam yang banyak.
Memperkasa dengan Penilaian dan Berpusatkan Prinsip
Guru sering menilai anak didiknya tetapi pernahkah kita menilai diri sendiri? Sedarkah kita sebagai guru yang kerjanya 'mengajar sepanjang hayat' (sebelum bersara wajib) kita telah tidak cukup melakukan satu perkara sepenting ini? Kalau begitu bagaimana kita tahu dan boleh meningkatkan tahap profesionalisme kita?
L. Dee Fink (1999), dalam satu artikelnya "Evaluating Your Own Teaching" menyebut:
" Assuming that no one is perfect and therefore everyone has room for
improvement, evaluation is the means by which ewe try to identify which
aspects of our teaching are good and which need to be changed. The
question then arises as two who should take responsibility for doing this
evaluation. My believe is that evaluation is an inherent part of good teaching.
Therefore it is the teacher himself or herself who should take primary
responsibility for doing the evaluation."

"To improve is to change. And to be perfect is to change often", demikian ujar Winston Churchill. Jadi titik tolak bagi melakukan perubahan, dan kemudian mencapai kemahiran dan kesempurnaan memakan masa dan dayausaha. Bagi mencapai perubahan yang berjaya dan berkesan perlukan seseorang itu bukan sahaja menambah pengetahuan dan kemahiran baru malah sering pula memerlukan kita belajar semula sesuatu konsep, kaedah dan teknik yang mungkin kini sudah usang. Tidak ada orang yang tidak boleh melakukan aspek belajar semula ini kecuali seseorang itu sudah merasa dirinya sudah lengkap segala-galanya seperti kata Epictetus (55-135 M); "It is impossible for anyone to begin to learn what he believes he already knows." Pengalaman berserta beraneka kemahiran yang dititipkan oleh guru menerusi proses pengajaran dan pembelajaran umpamanya bermaksud melalukan perubahan sikap, seterusnya mengubah pemikiran dan paradigma sehingga terciptalah tangkah-laku yang dihasratkan itu tercapai. Menurut Dee Fink lagi penilaian bagi menghasilkan perubahan ke arah peningkatan profesionalisme individu seseorang guru itu amat besar faedahnya berdasarkan tiga sebab.
1. Pertama, tanpa mengambil kira bagaimana baik atau buruk kita sebagai guru-guru, kita semua mempunyai potensi, menjadi lebih baik lama-kelamaan. Sementara sebahagian guru-guru bertambah baik dan hampir menemui potensi mereka, sayang sebahagian yang lainnya mengalami peningkatan yang kecil sahaja sewaktu peringkat awal kerjaya dan kemudiannya seolah-olah 'mendatar' kualitinya malah kadang-kadang 'merosot'. Kenapa? Natijahnya terdapat perbezaan pokok di antara mereka yang berjaya dengan mereka yang gagal meningkat, adalah disebabkan golongan pertama itu mengumpul maklumat mengenai pengajaran mereka dan mengambil daya usaha bagi penambahbaikan sesetengah aspek daripadanya - setiap kali mereka mengajar.
2. Sebab kedua mengapa perlunya membuat penilaian adalah bagi mendokumentasikan kualiti seseorang bagi rujukan pihak lain, yang perlu mengetahui track record seseorang sepanjang kerjayanya. Satu cara sahaja guru-guru boleh membekalkan maklumat seumpama ini iaitu dengan cara mengumpulnya, dan inilah penilaian. Dengan kaedah ini juga dapat membantu seseorang guru itu memahami keberkesanan pengajarannya dengan lebih baik lagi.
3. Sebab ketiga pula merupakan satu keperluan yang bersifat peribadi dan keinginan manusia untuk menilai. Hal ini adalah bagi kepuasan mental dan psikologikal diri sendiri. Melakukan sesuatu kerja dengan baik adalah satu perkara; manakala satu perkara lagi dengan memiliki maklumat yang padu, kita tahu kita telah melakukan kerja dengan baik. Pengetahuan dan kepastian ini hanya mungkin jika kita membuat penilaian yang rapi dan telus.
Antara "Powerful" atau "Powerless"
Selepas kita melakukan penilaian baharulah kita tahu status atau kedudukan tahap dan taraf ketrampilan kita selaku guru yang bagaimana; cergas dan cerdas; pantas dan tangkas; cekal dan tabah; mengurus masa atau membuang masa? Kemudian baru kita boleh "memilih" ada untuk menjadi guru yang "powerful" atau "powerless". Tentulah bagi menjadi seorang guru yang perkasa kita mestilah seorang yang "powerful" bukan sebaliknya. Jadi pilihan di tangan kita.
Perasaan dan perlakuan "tidak berdaya" ("powerless") boleh berlaku daripada sekecil-kecil insiden atau peristiwa sehingga kepada masalah atau perkara yang besar. Jika kita gagal mengatsasi atau membiarkan keadaan "tidak berdaya" ini kita akan menjadi lebih tidak berdaya saing, lemah jiwa dan raga, lemah mental dan spiritual akhirnya kita melihat dunia dan kehidupan tidak memberi erti apa-apa, selanjutanya kita kecewa dan sengsara serta merintih nasib dan takdir. Apa yang kita buat apabila kita memilih menjadi seorang yang "powerless" ialah; tak kisah, tunggu, lengah atau lewatkan, tidak ambil tindakan atau "buat de' "sahaja, hampa, jadi tidak peduli, abaikan dan jadi seorang yang acuh tak acuh.
Kemudian apa pula yang kita dapat bila kita merasa "powerless"; status quo, hubungan yang Kalah/Menang (Lose/Win), tidak dijangka/hasil yang tidak diketahui, ketidakpastian, hasrat dan angan-angan (fantasi), dan merosot keupayaan seterusnya prestasi jadi rendah.
Jadilah Seorang Yang Powerful
Jelas menjadi seorang yang "powerless" tidak menjanjikan sebarang kebaikan dan faedah sama ada dari segi peribadi, kumpulan, kelompok atau pun organisasi dan kerjaya yang kita ceburi. Tentulah kita memilih untuk menjadi "powerful" dan berjaya dalam semua bidang dan aspek kehidupan berkeluarga, sosial dan kerjaya dan dapat menyumbang kepada kesejahteraan bangsa dan negara menerusi tugas mendidik yang kita hayati ini.
Dalam menajdi "powerful" kita perlu kenal tiga "kuasa" yang masing-masing ada baik dan buruknya iatu i) kuasa paksaan, ii) kuasa utiliti dan iii) kuasa berpusatkan prinsip (principle-centered).
Fokus kita ialah kepada kuasa berpusatkan prinsip (principle-centered power) bagi mencapai hasrat menjadi guru yang perkasa; guru sebenar guru -- ke sekolah tidak jemu mengajar tidak lesu! Kuasa berpusatkan prinsip adaah berasaskan apa yang anda boleh buat dengan orang-orang lain. Kuasa berpusatkan prinsip juga ertinya berasaskan 'hormat': individu yang dihormati akan dipercayai, disegani dan menjadi inspirasi kepada orang-orang lain, dan oleh itu kepemimpinannya diterima sepenuh hati. Oleh itu guuu-guru yang perkasa berpusatkan prinsip ini akan menjurus kepada kawalan-kendiri, tingkah-laku beretika dan kehidupan yang proaktif (Blaine Lee, 1997).
Salah satu prinsip penting dalam mengurus diri dan organisasi ialah prinsip samarata atau adil (kepada orang lain dan kepada diri). Oleh itu satu keperluan yang mesti ada ialah keberanian menghadapinya, serta kemampuan dan keupayaan membuat teguran dan ulasan bagi membetulkan mana-mana individu yang tersasar dari landasan dan terkeluar dari tujuan dan matlamat organisasi. Di sini prinsip 'Bukan Kepada Siapa Betul Tetapi Kepada Apa Yang Betul' hendaklah menjadi pegangan. Intipati kepada prinsip ini ialah apa yang betul atau apa yang tidak betul bukan berdasarkan seseorang itu ketua (boss) atau penngikut (subordinate), tetapi kepada apakah persoalannya, apakah kesan atau implikasinya, atau apakah tafsiran dari segi falsah, peraturan, dan objektivitinya, di mana matlamat akhirnya semua orang akan buat perkara yang betul dan tidak dipertikaikan lagi.
Kesan dan Hasil Kuasa Berpusatkan Prinsip
Guru-guru yang perkasa berpusatkan prinsip ini akan memberi pengaruh kepada berlakunya transformasi budaya belajar dan mengajar yang hebat. Transformasi ialah perubahan, yakni perubahan yang disebabkan wujudnya perhubungan di mana 'hormat' menjadi asasnya. Manusia tidak setia kepada logo -- mereka setia kepad orang lain (pemimpin berprinsip). Blaine Lee (1997) dalam bukunya The Power Principle: Influence With Honour menyenaraikan empat kesan yang terhasil daripada kuasa berpusatkan prinsip ini sebagaimana berikut:
1. Kuasa berkekalan : Apabila kesan dan pengaruh orang perkasa ini tetap bersama atau di alam diri walaupun orang itu sudah tiada di dunia ini. Ertinya pengaruh orang yang perkasa ini meninggalkan kesan yang bukan sedikit malah berterusan sehingga pengaruh ini di 'turunkan' pula keapada generasi seterusnya. Tidak seperti kesan daripada kuasa paksaan yang cuma berkesan selagi orang takut. Juga tidak seperti kesan kuasa utiliti, ia datang dan ia pergi dan sangat bersifat sementara. Tetapi kuasa berpusatkan prinsip mewujudkan perhubungan yang berkekalan -- ia tidak terhenti bila pengurusan baru mengambil alih, tidak juga menjadi ketinggalan zaman bila muncul sesuatu yang baru.
2. Tingkah-laku Proaktif : Kuasa berpusatkan prinsip menggalakkan tingkah-laku proaktif yang membina dan membawa perhubungan yang bukan bersifat situasional tetapi transformasional yang bererti kita membuat pilihan kepada mana yang lebih penting dan mana yang lebih bernilai dan berharga. Tingkah-laku proaktif melahirkan tingkah-laku yang dihormati: tak perlu penyeliaan, tak perlu mandur. Guru-guru yang bertingkah-laku proaktif dalam konteks ini sebenarnya memiliki standard dalaman yang lebih tiggi daripada apa yang diletakkan kepadanya. Ia tidak memikirkan untuk buat perkara lain, kerana bertentangan dengan jiwanya. Jika tingkah-lakunya merosot ke bawah paras yang ditentukan (standard), guru yang proaktif ini mampu 'membetulkan dirinya'. Falsafahnya "Saya boleh buat lebih baik. Saya boleh jadi lebih baik."
3. Kawalan-kendiri : Ini bukan lagi kuasa yang datang dari luar. Kuasa berpusatkan prinsip fokusnya ke dalam diri. Ianya bergantung kepada keupayaan dalaman masing-masing bagi lebih tabah, lebih giat, lebih bersungguh-sungguh bila mengesampingkan apa yang mereka mahu berbanding apa yang lebih besar dan mustahak. Ini akhirnya membuatkan seseorang itu sanggup berkorban; iaitu melupakan apa yang kita hendak sekarang kerana hendakkan perkara-perkara yang lebih mendesak.
4. Membina Kesaling-bergantungan : Dalam kehidupan manusia tidak boleh hidup dan bekerja seorang diri, tidak kira sekaya mana atau selemah atau semiskin mana sekalipun, apatah lagi di dalam organisasi dan institusi zaman sekarang. Menerusi kuasa paksaan kita memupuk dan menggalakkan pelbagai jenis kebergantungan, manakala dalam kuasa utiliti ianya memupuk dan menggalakkan kebebasan -- kebebasan untuk memilih seperti kita boleh memilih untuk bersatu atau kita memilih untuk berpisah. Oleh itu kesaling-bergantungan adalah kesan daripada kuasa berpusatkan prinsip: yang boleh menjawab soalan, "Apa yang boleh dan apa yang akan jadi bila kita bersatu?" Kesaling-bergantungan juga melahirkan sinergi daripada seluruh individu agar matlamat dan objektif institusi dan organisasi tercapai dengan cemerlang dan gemilang.

Aspek-aspek yang kita buat daripada budaya berpusatkan prinsip ini adalah: meyakinkan; jadi sabar; jadi penyantun; mengajar; menerima; baik hati; menyayangi; belajar; berdisiplin; jadi istiqamah dan hidup dengan keutuhan.

Ini pula kesan atau hasil yang kita dapat dengan budaya berpusatkan prinsip: rakan dan perkongsian, transformasi yang bertimbal balik, sinergi, risiko yang diambil kira, pertambahan keupayaan, kawalan dalaman yang positif, kawalan-kendiri, tingkah-laku beretika, hubungan yang saling bergantung, proaktiviti, kepercayaan, penyelesaian secara Menang/Menang (Win/Win), persetujuan rakan-kongsi dn kepuasan mendalam hubungan jangka-panjang.

Siapa Guru Sebenar Guru: Ke Sekolah Tidak Jemu Mengajar Tidak Lesu?

Sebagai golongan orang-orang yang berilmu pengetahuan dan terlatih guru-guru bukan sahaja perlu mahir dalam bidang masing-masing tetapi juga mestilah berkebolehan menggunakan teknologi komputer secara kreatif dan inovatif. Mereka hendaklah melihat revolusi sistem pendidikan ini sebagai satu peluang untuk meningkatkan kualtiti dan produktiviti pendidikan bukannya sebagai ancaman kepada masa depan karier mereka (Wan Liz Ozman, 2000). Jadi menyediakan diri menjadi guru yang perkasa perlukan latihan dan latihan-latihan semula secara berterusan atau bila-bila sahaja jika ada peluang dan kesempatan. Hanya dengan sikap proaktif, semangat dan keinginan yang tinggi bagi memperlengkapkan diri sahajalah seseorang itu guru itu mampu menyesuaikan dirinya dengan pelbagai cabaran, tuntutan dan tekanan tugas dan kerja yang sering berubah dalam proses peningkatan dan pembaharuan seperti tersirat di dalam Standard Tinggi Kualiti Pendidikan hari ini.]

Guru sebenar guru ialah seorang guru yang memiliki sifat dan ciri-ciri unggul sebagai penyampai ilmu (yang benar), sebagai penyemai nilai luhur, pembimbing, penunjuk ajar dan pemberi pedoman hidup serta yang paling penting dan berkesan sebagai contoh dan teladan kepada setiap anak didiknya. Guru ynag perkasa bukan sahaja sihat tubuh badan dan sihat pula mental dan pemikirannya tetapi seorang yang penuh dengan sifat-sifat iltizam, dedikasi, bertanggungjawab, komited, tekun, sabar, bertimbang rasa, rajin, ceria, amanah, berpegang kepada janji; tetap tidak akan mengkhianati tugasnya atau murid-muridnya.

Prinsip utamanya seorang guru yang perkasa mesti faham bahwa tugas 'mengajar dan mendidik serta meneladan' adalah pekerjaan yang sangat mulia. Guru sebenar guru mestilah dapat menganggap pergi ke sekolah sebagai pergi ke medan jihad (menentang, membasmi dan mencegah kejahilan, kebodohan, kebebalan, kelemahan, kealpaan, kemunduran dan kehinaan akibat tidak berilmu pengetahuan) dan kerja mengajar pula (tanpa sebarang muslihat dan tipu helah) sebagai suatu ibadah. Oleh itu seseorang guru itu akan memainkan peranan mengikut keadaan dan situasi secara penuh tanggungjawab, jujur dan ikhlas; yang di dalam Islam guru sebenar guru ini dikelaskan sebagai:
Al-mu'allim : menyampaikan ilmu yang benar
Al-murabbi : menjayakan proses tarbiah
Al-mu'addib : mengajarkan adab dan budi pekerti
Al-mursyid : membentuk kepimpinan insan
Al-mudarris : menitipkan pelajaran dan kemahiran
Seorang guru yang perkasa tidak akan cepat menyalahkan keadaan dan tempat sebelum ia menyalahkan dirinya terlebih dahulu, dan di samping itu pula berusaha meningkatkan ketrampilan dan kewibawaan diri ke tahap yang paling tinggi.

Penutup

Tugas murni lagi mulia kita sebagai guru seharusnya jangan dicemari dengan gejala-gejala buruk yang merosakkan sehingga kelemahan, kemunduran dan kegagalan pendidikan yang kita pikul hari ini dari segi menyediakan pengalaman-pengalaman berguna bagi kegunaan masa hadapan anak-anak didik kita nanti, akan menyebabkan adanya individu yang ingin maju tetapi hanya berlegar sekitar mediocrity, dan tidak pun berupaya menggunakan peranan mereka untuk citarasanya apatah lagi memenuhi citarasa bangsa dan negaranya. Kegagalan ini juga nanti menghasilkan individu yang menjalankan sekerja separuh hati, atau sekadar makan gaji (Jemaah Nazir, 2000).
Oleh itu selaku guru-guru kita sewajarnya menyedari hal ini dan oleh kerana itu juga amat penting diingat bahawa apa jua yang kita buat dan apa jua yang kita tidak buat akan mencerminkan siapa diri kita sebenarnya. Dalam banyak senario kita boleh lihat dan nilai sendiri bagaimana guru yahg dikatakan seorang guru yang tidak jemu apabila sentiasa menampilkan sikap dan perlakuan positif seperti datangnya awal baliknya lewat; atau seorang guru yang tidak jemu mengajar biarpun berhadapan dengan segelintir murid yang lemah., lambat dan dengan berbagai karenah; guru yang tidak lesu tetapi tetap bertenaga dari pagi sampai ke tengah hari (atau petang); ia tidak membezakan murid atau kelas yang cerdas dengan murid atau kelas yang kurang cerdas.
Jangan sekali-kali ada perasaan apatah lagi tersimpan niat di hati, akibat dari sikap dan perbuatan kita, kita sangka yang rosak dan buruk hanyalah organisasi atau sekolah kita sahaja; malah kerosakan yang lebih besar ialah rosaknya nama baik, cemarnya maruah, buruknya perangai diri sendiri akibat mengikutkan hati dan nafsu ammarah kita sehingga kita tidak mampu lagi mengenal atau membezakan mana kaca mana intan, mana emas sepuluh mana emas sepuh.
Kita harus berani dan secara gentleman mengakui bahawa apa jua kelemahan dan kebejatan profesionalisme yang wujud dan berlaku di sekolah kita masing-masing (apatah lagi jika kita peneraju atau primadonanya) sehingga senario dan fenomena yang terpancar di kava TV atau di dada-dada akhbar masalah-masalah sosial yan berkaitan dengan sistem pendidikan negara mendesak agar usaha pihak institusi pendidikan perlu diletakkan pada landasan yang lebih efisien lagi. Dan kita tidak mungkin menjadi efisien jika kita bukan seorang guru yang perkasa; jika kita seorang guru yang "powerless"; jika kita seorang guru yang tidak ada prinsip; jika kita seorang yang buta mata hati; jika kita seorang guru yang tahu tapi tidak mahu; atau jika kita seorang guru yang ada ilmu tapi tidak beramal dengan ilmunya. Setiap dari kita pasti mampu dan berjaya menjadi seorang guru yang perkasa: ke sekolah tidak jemu mengajar tidak lesu jika kita menghayati sabda Rasulullah s.a.w. yang mafhumnya;
"Barangsiapa yang amalannya hari ini lebih baik dari semalam;
dia adalah orang yang beruntung.
Barangsiapa yang amalannya hari ini sama dengan yang semalam,
dia adalah orang yang rugi.
Dan barangsiapa yang amalannya hari ini lebih buruk dari hari semalam,
dia tergolong orang yang dilaknat Allah S.W.T." ٱ